Sembilan wanita warga asing ditahan tawar khidmat seks

Antara wanita warga asing yang ditahan kerana disyaki menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Sungai Petani pada Jumaat.
Antara wanita warga asing yang ditahan kerana disyaki menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Sungai Petani pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sembilan wanita warga asing ditahan kerana disyaki menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM190 sejam dalam Ops Gegar di sebuah hotel bajet, di sini pada Jumaat.

Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan) Negeri Kedah, Rosmaliza Mohamed Rashid berkata, kesemua wanita dari Thailand (enam), Vietnam (dua) dan Kemboja (seorang) berusia antara 25 hingga 36 tahun ditahan dalam operasi terbabit.

Menurutnya, modus operandi ialah mengiklankan wanita cantik yang menawarkan perkhidmatan seks menerusi aplikasi WeChat.

"Bayaran yang dikenakan ialah sebanyak RM190 untuk satu jam layanan seks," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Rosmaliza, mereka juga disyaki menggunakan nama lelaki warga tempatan bagi tujuan menyewa bilik agar tidak dikesan penguat kuasa.

"Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kedah akan mengesan penama tersebut yang disyaki terlibat dalam kegiatan ini," katanya.

Beliau berkata, semasa serbuan, terdapat lima orang daripada wanita itu mempunyai pelanggan manakala yang lain sedang menunggu di bilik masing-masing.

"Sebanyak tujuh saman saksi telah dikeluarkan iaitu kepada dua pekerja dan lima pelanggan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Operasi membabitkan 19 pegawai dan anggota bermula jam 8.30 hingga 10.30 malam itu turut merampas beberapa barangan antaranya kondom, gel pelincir, telefon bimbit, ubat perangsang dan pasport.

"Hasil soal siasat mendapati salah seorang daripada mereka mengaku telah memasuki perairan negara menggunakan sampan dari Tak Bhai, Thailand ke laluan tikus di Kelantan secara tidak sah," katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguat kuasa, Pejabat Imigresen Anak Bukit untuk disaring terlebih dahulu sebelum ditahan di Depot Imigresen Belantik.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Peraturan 39(b) Peraturan - Peraturan Imigresen 1963.

Dalam masa sama, Imigresen Kedah akan mengesan pelawat asing yang masih berdegil untuk pulang ke negara asal secara sukarela.