X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 10 tan barangan keperluan dikumpul bantu penduduk

Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail (dua kiri) menunjukkan sebahagian barangan keperluan harian dikumpulkan di Pusat Pengumpulan Barangan Covid-19 di Pasaraya TSB Pumpong di sini pada Sabtu.
A
A

ALOR SETAR - Lebih 10 tan barangan keperluan asas terutama beras dikumpulkan UMNO Bahagian Alor Setar dalam tempoh dua jam bagi membantu penduduk terkesan Covid-19.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, antara barangan keperluan dikumpulkan ialah beras, minyak masak, tepung gandum, gula, sardin, biskut dan bihun.

Katanya, pihaknya bersama Rela Kehormat Bersekutu dan Pasaraya TSB mengambil inisiatif mengumpulkan barangan atas keprihatinan melihat ramai rakyat yang terkesan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disambung dua minggu lagi.

"Sebelum ini, kami melalui Yayasan Usima telah menyumbangkan kira-kira 20,000 pek barangan keperluan makanan sejak PKP bermula Mac tahun lepas.

"Bagaimanapun, kami tidak lagi mampu menyumbangkan barangan keperluan harian, sekali gus mengambil inisiatif membuat pengumpulan ini," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pusat Pengumpulan Barangan Covid-19 di Pasaraya TSB Pumpong di sini pada Sabtu.

Mohd Yusof berkata, beliau melahirkan kebimbangan keadaan penduduk terkesan akibat cabaran pandemik Covid-19 makin kritikal susulan PKP 3.0 disambung dua minggu lagi.

"Kita tidak tahu sampai bila situasi ini akan berakhir,dan ketika ini ada yang tidak dapat bekerja dan hilang punca pendapatan mereka," katanya.

Katanya, pihaknya menyasarkan menyalurkan sumbangan barangan keperluan asas dikumpulkan kepada 1,500 keluarga dari senarai terkumpul diterima kali ini.

Tambah beliau, sumbangan barangan keperluan dikumpulkan disalurkan kepada mana-mana pemohon berkelayakan tanpa mengira bangsa dan fahaman politik.

Katanya, dia akan menerima permohonan sebelum menyalurkan maklumat kepada satu pasukan untuk memproses permohonan, manakala satu pasukan bergerak akan ke kawasan untuk menghantar bantuan.

Menurutnya, sehubungan itu, pihaknya semua rakyat Kedah berkemampuan untuk tampil menyalurkan sumbangan untuk merealisasikan hasrat itu.

"Jikalau tidak mampu menyumbang banyak, dapat sedikit pun cukup bagi membantu penduduk terkesan ketika tempoh PKP ini," katanya.

Beliau berkata, kira-kira 10 premis disasarkan menjadi pusat pengumpulan barangan Covid-19 bagi membantu penduduk terjejas itu.

Sementara itu, pesara kerajaan, Amnah Ahmad,68, berkata, dia terpanggil untuk menghulurkan bantuan kerana simpati atas nasib orang awam terkesan ketika tempoh PKP.

Katanya, dia membelanjakan lebih RM200 untuk membeli beberapa barangan keperluan harian seperti beras, gula, sardin dan mi segera untuk meringankan beban golongan terjejas ini.

Menurut Pengarah Urusan Bintong Express, Zambri Mat, 42, dia menyambut baik inisiatif diperkenalkan UMNO Bahagian Alor Setar menyediakan pusat pengumpulan barangan Covid-19 ini.

"Dengan ini, orang awam sepertinya yang membeli barangan dapat mengambil peluang untuk membuat sumbangan barangan keperluan melalui pusat itu," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!