Lebih 500 orang asli terima vaksin di Sungai Rual

A
A
A

JELI - Lebih 500 penduduk orang asli di Kampung Sungai Rual, di sini dijadualkan menerima vaksinasi masing-masing melalui Program Outreach Covid-19 di kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, program pertama telah berlangsung pada 5 Jun lalu dan 85 penduduk menerima vaksinasi pada hari berkenaan.

"Untuk program pertama, kita sasarkan 200 orang tapi datang 85 sahaja sebab masa itu mereka masih ragu-ragu dan risau dengan persepsi tidak baik mengenai vaksin dan sebagainya.

"Namun untuk program Sabtu, kesedaran masyarakat semakin bertambah dan melalui dua program yang kita buat, kini 235 orang sudah menerima vaksin mereka.

"Mengikut maklumat yang saya terima, kita perlukan dua lagi program outreach ini bagi melengkapkan vaksinasi kepada semua 500 penduduk orang asli di kawasan ini," katanya kepada pemberita ketika melawat Program Outreach Covid-19 di Dewan Serbaguna Orang Asli Kampung Sungai Rual, di sini.

Menurutnya, penduduk di kawasan tersebut melibatkan 207 ketua isi rumah dan pihak kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif untuk membantu masyarakat orang asli ini hadir menerima vaksinasi mereka.

Katanya, antara usaha yang dilakukan ialah mesej yang disampaikan melalui agensi seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Penerangan Negeri dan sebagainya.

"Program outreach ini penting kerana ia membantu memudahkan urusan vaksinasi melibatkan kawasan terpencil. Ia juga boleh mengekang kesesakan dan pelbagai kekangan terutama dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh ketika ini,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Mustapa juga berkata, selain merancang Program Outreach Covid-19 di tiga lokasi iaitu Kuala Balah, Batu Melintang dan Air Lanas, pihaknya juga akan menambah satu lagi program yang sama iaitu di pejabatnya iaitu di Pejabat Ahli Parlimen Jeli.

"Kami berharap jumlah dos vaksin juga akan ditambah selari dengan pertambahan program outreach yang akan dilaksanakan selepas ini," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Penghulu yang juga Tok Batin Kampung Sungai Rual, Bidin Daud, 63 tahun memberitahu, beliau sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu mereka untuk menerima vaksinasi tersebut.

Katanya, walaupun pada awalnya ada di antara penduduk yang takut disebabkan persepsi negatif tentang vaksinasi, namun selepas diberikan penerangan, rata-rata mereka menerima dan menyambut baik langkah kerajaan itu.

"Terima kasih juga sebab kerajaan berikan kami bakul makanan. Memang kami tidak kemana-mana, takut dengan penyakit ini. Kami pun kawal orang luar supaya tidak masuk kampung sebab risau jangkitan," katanya.