Sukarela terima suntikan, Apa mahu jadi contoh

Nolee Ashilin (tengah) ketika meninjau kelancaran program Outreach Vaksinasi Daerah Kampar di Dewan Komuniti Sahom, Kampar pada Sabtu.
Nolee Ashilin (tengah) ketika meninjau kelancaran program Outreach Vaksinasi Daerah Kampar di Dewan Komuniti Sahom, Kampar pada Sabtu.
A
A
A

KAMPAR - Seorang bekas guru mahu menjadi contoh terbaik kepada komuniti masyarakat orang asli di kampungnya apabila hadir secara sukarela sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19, di sini pada Sabtu.

Apa Dengal, 72, dari Perkampungan Orang Asli Pos Dipang berkata, permohonan itu dibuat sendiri tiga minggu lalu atas dasar tanggungjawab dan keselamatan diri yang telah lanjut usia.

Menurutnya, majoriti 600 penduduk di kampung itu masih belum mendaftar sebagai penerima imunisasi yang sebahagian besarnya disebabkan rasa takut.

"Macam-macam cerita yang tidak betul tersebar hingga menakutkan masyarakat orang asli untuk menerima suntikan vaksin ini.

"Saya pada mulanya takut juga, tetapi bila fikirkan semula eloklah saya pergi cucuk dahulu, nanti bolehlah saya kongsikan sendiri pengalaman itu agar mereka lebih yakin dan percaya," katanya kepada pemberita selepas selesai menerima suntikan sempena program Outreach Vaksinasi Daerah Kampar di Dewan Komuniti Sahom, di sini pada Sabtu.

Apa dari suku kaum Semai menjadi satu-satunya masyarakat orang asli yang menerima suntikan vaksin pada program berkenaan yang mengumpulkan 102 warga emas dan golongan berisiko dari sekitar kawasan Sahom.

Dia yang menerima suntikan Pfizer-BioNTech hadir ditemani anaknya menaiki kereta dengan menempuh perjalanan lebih 5 kilometer.

Katanya, proses suntikan yang dijalani langsung tidak menyakitkan dan jarum yang digunakan juga tidak sebesar seperti diperkatakan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Lepas suntik tadi tak ada rasa sakit langsung, loya, pening kepala dan kebas-kebas pun tidak ada. Walaupun tindak balas itu belum ada, tetapi saya rasa diri lebih selamat," katanya.

Apa gembira selepas menerima suntikan dos pertama Covid-19 sempena program Outreach Vaksinasi Daerah Kampar di Dewan Komuniti Sahom, Kampar pada Sabtu.
Apa gembira selepas menerima suntikan dos pertama Covid-19 sempena program Outreach Vaksinasi Daerah Kampar di Dewan Komuniti Sahom, Kampar pada Sabtu.

Beliau berharap, masyarakat orang asli lainnya tidak lagi ragu-ragu untuk mendaftar dan menerima suntikan vaksin Covid-19 sepertimana disarankan kerajaan.

"Saya sudah ambil vaksin dan selamat. Jadi selepas ini saya akan beritahu kepada semua rakan dan penduduk kampung supaya jangan takut jika diminta terima suntikan ini.

"Suntikan vaksin ini sangat penting untuk melindungi diri, keluarga dan komuniti di satu-satu kawasan daripada dijangkiti Covid-19," katanya yang memaklumkan anak-anaknya telah pun mendaftar sebagai penerima vaksin di bawah MySejahtera.

Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sedang menggerakkan program vaksin khusus untuk masyarakat orang asli di daerah itu.

Katanya, terdapat lebih 10 perkampungan orang asli di daerah Kampar dengan enam daripadanya berada dalam kawasan Sahom.

"Kita akan aturkan program vaksin ini khusus untuk mereka sebaik menerima bilangan vaksin yang cukup, juga waktu serta tempat yang sesuai untuk mengumpulkan mereka," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah itu berkata, program Outreach Vaksinasi di Dewan Komuniti Sahom itu adalah yang pertama dilaksanakan di daerah Kampar sebagai inisiatif mempercepatkan proses vaksinasi yang kini baru mencapai 11.3 peratus daripada jumlah keseluruhan 85,000 penduduk.

Menurutnya, pendekatan lain yang akan diambil termasuklah membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kedua di Gopeng yang dijangka beroperasi pada 1 Julai depan serta cadangan PPV secara pandu lalu dengan kerjasama Universiti Tunku Abdul Rahman Kampar.

"Kita sambut inisiatif kerajaan negeri dengan memperluaskan lagi kaedah membantu rakyat dapatkan vaksin secara lebih mudah dan sesuai.

"Buat masa ini, kita hanya ada satu PPV beroperasi di Dewan Bandaran Kampar dengan kapasiti 500 penerima vaksin sehari," katanya.