X

Kindly register in order to view this article
!

Singapura-Malaysia harap perjalanan rentas sempadan disambung semula

Singapura dan Malaysia berharap perjalanan rentas sempadan dapat dibuka semula apabila keadaan Covid-19 di kedua-dua negara bertambah baik.
A
A

SINGAPURA - Singapura dan Malaysia berharap perjalanan rentas sempadan dapat dibuka semula apabila keadaan Covid-19 di kedua-dua negara bertambah baik, kata Menteri Pengangkutan republik itu, S Iswaran.

Menerusi hantaran terbaru di Facebook rasminya, Iswaran berkata, beliau telah membuat panggilan video dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada Jumaat.

"Kami berbincang pelbagai isu mengenai kerjasama Malaysia dan Singapura. Kedua-dua pihak akan terus melabur pada masa depan," tulisnya.

Iswaran sebelum ini menerajui Kementerian Komunikasi dan Penerangan kemudian dilantik menjadi Menteri Pengangkutan berkuat kuasa 15 Mei lalu.

"Datuk Seri dan saya bersama-sama sepakat mengenai pentingnya meneruskan kerja-kerja untuk Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura yang akan memperkukuh lagi hubungan apabila perjalanan rentas sempadan disambung semula.

"Kami juga setuju untuk meneruskan kerjasama erat di platform antarabangsa seperti Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dan Pertubuhan Maritim Antarabangsa, terutama mengenai isu transnasional jangka panjang seperti perubahan iklim dan pengangkutan mampan," tulisnya lagi.

Iswaran berkata, kedua-dua pihak akan terus berhubung dan bekerjasama rapat untuk manfaat kedua-dua negara.

Menerusi hantaran yang sama, beliau turut mengimbau kenangan zaman kanak-kanaknya: "Masa kanak-kanak dulu, setiap kali keluarga saya pergi ke Pulau Pinang, saya akan singgah di Ayer Hitam - kawasan Datuk Seri.

"Beliau mempelawa saya untuk mengunjungi Ayer Hitam lagi untuk menikmati keenakan kopi dan durian Musang King apabila keadaan Covid-19 bertambah baik. Tak sabar untuk memenuhi undangan beliau!". - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!