X

Kindly register in order to view this article
!

KPKT wujud sistem sokongan tingkat bilangan hadir janji temu

Zuraida (kiri) beramah mesra bersama penerima-penerima vaksin Covid-19 ketika Lawatan Kerja Koordinasi Sukarelawan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Dewan Orang Ramai Kampung Ampang Indah hari ini.
 - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mewujudkan sistem sokongan bagi meningkatkan bilangan individu yang hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sistem sokongan yang terdiri daripada pusat panggilan, pusat pengangkutan serta kumpulan jangkawan adalah yang pertama kali diwujudkan itu telah mendapat kerjasama dengan beberapa pihak seperti Kementerian Perpaduan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melancarkan tadbir urus.

Menurut beliau, ekosistem sistem sokongan itu akan bermula dengan pusat panggilan yang mana beberapa operator telefon telah dilatih untuk menghubungi individu yang tidak hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

“Selama ini penerima vaksin yang tidak datang tidak diberikan fokus. Justeru kita wujudkan satu pusat panggilan di PPV Dewan Orang Ramai Kampung Ampang Indah bagi menghubungi individu yang tidak hadir untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19.

“Sistem ini sudah dicuba untuk satu minggu dari Selasa hingga ke hari ini (Sabtu) yang mana keseluruhan 177 individu terdiri daripada tiga kategori, iaitu yang tidak memberi respon dalam aplikasi MySejahtera, tidak datang untuk menerima dos kedua dan tak hadir bagi mendapatkan dos pertama berjaya dihubungi.

“Dalam laporan yang saya terima, 97 hingga 98 peratus individu yang dihubungi telah hadir dan ini menunjukkan pusat panggilan ini berjaya untuk memastikan mereka yang tak dapat maklumat atau lalai hadir ke PPV ini,” katanya ketika membuat tinjauan di PPV Dewan Orang Ramai Kampung Ampang Indah pada Sabtu.

Ujar Zuraida, bagi individu yang mempunyai masalah pengangkutan untuk hadir ke PPV tersebut, pihaknya juga turut menyediakan unit pengangkutan untuk mengambil mereka dari kediaman masing-masing.

“Bagi kumpulan jangkawan pula, kita akan berhubung dengan PBT dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) untuk memastikan mereka yang berada di kawasan tersebut telah daftar bagi mendapat vaksin, manakala bagi yang sudah berdaftar pastikan mereka untuk pergi ke PPV bagi mendapatkan vaksin.

“Selain itu juga, kita ada 'mobile clinic' yang telah diubah kepada menjadi pusat vaksinasi mobil yang mana kita telah bekerjasama dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk ditempatkan di rumah orang tua dan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan meluaskan sistem sokongan tersebut kepada beberapa buah negeri seperti Johor, Pulau Pinang, Pahang, Kuala Lumpur seta negeri yang menjadi tumpuan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!