X

Kindly register in order to view this article
!

Nekad tanam keledek walau berdepan ancaman tikus tanah

Amran (tengah) dan Boon Heng memasuk keledek ke dalam guni bagi membolehkan hasil itu dijual kepada FAMA. - Foto Ihsan FAMA Pahang
A
A

KUANTAN - Pengusaha tanaman keledek di Kampung Air Hitam, Pekan di sini nekad mengusahakan tanaman itu walaupun berdepan dengan ancaman tikus tanah.

Mereka yang merupakan masyarakat Orang Asli Suku Jakun tetap meneruskan projek tanaman keledek jenis putih madu dan oren madu di di atas tanah seluas 0.8 hektar di kampung tersebut.

Pekebun, Tan Boo Heng, 31, berkata, ancaman tikus tanah bermula ketika pokok keledek sudah mengeluarkan hasil dan memerlukan perhatian berterusan jika mahu mendapatkan pulangan daripada penanaman terbabit.

Menurutnya, modal yang digunakan untuk mengusahakan tanaman tersebut tidak banyak tetapi kos tambahan ialah untuk membeli racun tikus.

"Tikus tanah menyerang pada waktu malam dengan memusnahkan beberapa kilogram keledek matang menyebabkan saya berdepan kerugian," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Bapa kepada empat cahaya mata itu memberitahu, bagi penanaman pada musim ini, sebanyak RM3,500 telah dikeluarkan termasuk kos racun tikus.

Ujarnya, projek tanaman keledek diusahakan selepas selesai menanam pokok kelapa sawit dan kerja-kerja penanaman bermula pada Mac lalu.

"Tanaman saya sudah mengeluarkan hasil namun tidak dapat dipasarkan. Jadi saya terpaksa meminta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang membantu memasarkan hasil," katanya.

Amran Juara, 41, pula memberitahu, sebelum memulakan projek pertanian berkenaan mereka bersedia untuk berhadapan ancaman kumpulan babi hutan kerana kedudukan kawasan tanaman bersebelahan dengan hutan namun berlaku sebaliknya apabila haiwan itu tidak banyak merosakkan tanaman.

"Kumpulan babi ada masuk dalam kawasan kebun namun hanya untuk melintas sebelum ke kawasan hutan berhampiran serta tidak memusnahkan keledek.

"Hanya tikus tanah sahaja menggali dan makan keledek matang. Kami terpaksa menyediakan perbelanjaan tambahan untuk membeli racun tikus yang diletakkan di beberapa kawasan dalam kebun," katanya.

Dalam pada itu, Amran memberitahu, sebanyak 1,500 kilogram keledek yang sudah digali tidak dapat dipasarkan selepas berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana pihak FAMA membantu dengan membeli hasilnya mengikut harga pasaran.

Sementara itu, Pengarah FAMA Pahang, Noh Nik Wan mengesahkan pihaknya membantu memasarkan 1,500 kilogram keledek hasil tanaman pekebun Orang Asli di Kampung Air Hitam, Pekan.

Menurutnya, ini kali pertama FAMA membantu memasarkan hasil pertanian itu.

"Kita perlu membantu memasarkan keledek keluaran pekebun terbabit bagi mengelak pekebun menanggung kerugian PKP dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

"Harga yang kita gunakan adalah mengikut sistem harga semasa bagi pasaran keledek dan selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak. Ia membabitkan tanaman keledek jenis putih madu dan oren madu atau Jepun yang mengambil kira-kira tiga bulan untuk matang," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!