X

Kindly register in order to view this article
!

Kebenaran operasi perniagaan tertakluk kepada MKN

Gambar hiasan Gambr kecil: Kenyataan balas DBKL kepada Teresa pada Sabtu berkenaan dakwaannya tentang operasi perniagaan di Kuala Lumpur yang dianggap pilih kasih dan bersifat dua darjat.
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan bahawa sebarang kebenaran untuk perniagaan beroperasi tertakluk kepada keputusan atau arahan yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Unit Media DBKL mengeluarkan kenyataan balas kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkenaan isu kebenaran aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh Fasa Pertama yang didakwa mengamalkan dasar pilih kasih dalam membenarkan operasi tersebut.

Menurut kenyataan tersebut, pasar pagi terbuka adalah sama seperti pasar malam atau pasar tani yang tidak dibenarkan oleh kerajaan untuk beroperasi.

“Waktu operasi pasar borong bermula pada jam 12 tengah malam hingga 6 pagi serta jam 11 pagi hingga 4 petang, manakala pasar berbangunan atau berbumbung mula beroperasi pada jam 6 pagi hingga 2 petang dan bazaria pula jam 4 petang hingga 8 malam.

"Bagi pusat penjaja, kiosk atau gerai berkunci, kendera saji (food truck), penjaja beredar, perniagaan berpermit sementara, peniaga yang mempunyai lesen waktu terhad dan lesen sementara KL Prihatin pula beroperasi pada jam 8 pagi hingga 8 malam," kata kenyataan tersebut pada Sabtu.

Dalam pada itu, DBKL juga memaklumkan, pihaknya membuat pemantauan di lokasi-lokasi tersebut dan sejumlah 22 notis kompaun dikeluarkan terhadap premis yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pada Rabu, Teresa menyeru Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk menyemak semula operasi perniagaan kecil khususnya pasar pagi terbuka sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Teresa berkata, pihaknya menerima aduan daripada penjaja pasar pagi (terbuka) berkenaan arahan DBKL yang menutup operasi perniagaan tersebut namun membenarkan pasar dalam bangunan, bazaria serta pusat penjaja beroperasi.

Beliau menyifatkan arahan tersebut sebagai layanan dua darjat bagi aktiviti perniagaan penjaja dan peniaga kecil.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!