Polis buka enam kertas siasatan

A
A

KAJANG - Sebanyak enam kertas siasatan telah dibuka daripada 24 laporan polis yang diterima sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sejak Sabtu lepas hingga 11 pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata satu daripada kertas siasatan itu melibatkan satu lagi kesalahan menurut Akta Pilihan Raya 1954 iaitu memberi ceramah tanpa permit oleh sebuah parti politik malam tadi di Beranang.

“Ini bermakna termasuk ceramah semalam, kami telah menerima dan membuka kertas siasatan terhadap dua laporan yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya pada sidang media bersempena PRK DUN Semenyih di Ibu Pejabat Polis Kajang di sini hari ini.

Katanya sehingga semalam, sebanyak 104 permit kempen politik telah dikeluarkan oleh polis iaitu 62 permit untuk Pakatan Harapan, 35 kepada Barisan Nasional (BN) dan tujuh permit untuk Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Kami hendak mengingatkan semua parti politik agar mematuhi undang-undang sepanjang tempoh berkempen termasuklah membuat permohonan permit bagi tujuan berkempen,” katanya

Mohd Sabri juga mengesahkan menerima laporan daripada seorang lelaki berhubung sebuah kereta Mercedes E200 K berwarna hitam yang disimbah cat minyak berwarna biru ketika kereta diparkir di tepi jalan.

Katanya ketika itu kereta tersebut dipercayai digunakan untuk membawa calon BN ke kawasan Kampung Rinching Hulu dan kes disiasat menurut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat.

Selain itu, polis juga menerima satu laporan polis daripada seorang ketua kampung berusia lingkungan 50-an yang mendakwa dirinya difitnah yang kononnya beliau akan memberikan wang tunai RM100 kepada setiap pengundi dan siasatan dibuat menurut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah.

“Bagaimanapun sepanjang tempoh kempen ini, keadaan keselamatan dan ketenteraman di seluruh kawasan DUN Semenyih adalah terkawal,” katanya.

Mengenai laporan polis yang dibuat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia malam tadi berhubung cubaan membeli undi melalui pemberian hamper dan tawaran baik pulih rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), beliau berkata polis telah merujuk kes berkenaan kepada agensi berkaitan. - Bernama