X

Kindly register in order to view this article
!

Tak perlu Mageran, fungsi kerajaan masih optimum: Wan Saiful

Wan Saiful Wan Jan
A
A

SHAH ALAM - Usul penubuhan semula Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang dicadangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak diperlukan pada masa ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Mageran tidak perlu dalam keadaan kerajaan sedang berfungsi dengan optimum.

Beliau berkata, selain itu bilangan kes baharu Covid-19 sedang dikawal sementara kadar vaksinasi di Malaysia adalah antara tertinggi di Asia malah pelabur pun sudah mula kembali.

Dalam masa sama, katanya, bantuan kerajaan juga sampai ke tangan hampir semua golongan yang memerlukan.

"Saya berpegang bahawa tanggungjawab kita sekarang ialah membantu menjadi penyelesaian masalah dan mesti memainkan peranan masing-masing bukan berterusan merungut atau mencari salah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Wan Saiful berkata, Mageran pernah diwujudkan untuk menggantikan kabinet selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 dan kuasa pentadbiran ketika itu dipusatkan di bawah Mageran.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengekalkan kabinet penuh yang menjalankan fungsi-fungsi seperti biasa kerana darurat ini adalah darurat kesihatan bukan darurat keselamatan.

"Jadi kabinet dan fungsinya boleh dikekalkan. Selain itu, kita juga ada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang aktif menguruskan pandemik (Covid-19)," katanya.

Beliau berkata, terdapat dua sidang MKN iaitu Sidang Khas MKN Mengenai Pengurusan Covid-19 diadakan minima dua kali seminggu dan Sidang Khas MKN Mengenai Darurat minima sekali seminggu.

Menurut Wan Saiful, dengan minima tiga sidang MKN ditambah mesyuarat kabinet setiap minggu, ada empat mesyuarat khusus menangani ehwal semasa dan itu tidak termasuk jawatankuasa-jawatankuasa teknikal yang berbentuk operasional.

"Semua isu-isu pengurusan pandemik seperti keputusan berkaitan kesihatan awam, kuarantin, saringan rakyat, saringan pekerja asing, rawatan, vaksinasi, prosedur operasi standard (SOP) dan lain-lain dibincangkan dalam mesyuarat berkaitan.

"Keputusannya pula dilaksanakan kementerian bertanggungjawab. Maksudnya semua kementerian dan jentera kerajaan sentiasa berfungsi secara optimum dan semua keputusan adalah berdasarkan data dan fakta terperinci," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan kaedah berkenaan membolehkan keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi rakyat dibincangkan dengan kerap dan keputusan dibuat lebih tepat pada masanya.

"Adakah keputusan akan berubah-ubah? Ya sudah pasti dan kita memang harapkan ia berubah terutama ke arah yang mengembalikan norma hidup rakyat, sebab data terkini berubah setiap masa," katanya.

Katanya, situasi yang dinamik memerlukan pengurusan yang dinamik seperti yang dilakukan oleh kerajaan PN ketika ini.

"Adakah keputusan akan sentiasa betul? Pasti tidak semuanya. Tapi kerja secara konsensus berpasukan ini membawa kemungkinan lebih besar kita akan sentiasa buat keputusan terbaik untuk sesuatu waktu berdasarkan data yang ada pada masa itu dan juga memudahkan pembetulan dibuat jika tersalah," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!