X

Kindly register in order to view this article
!

PTPTN tawar hadiah hampir RM240,000

A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan hadiah lumayan bernilai hampir RM240,000 untuk 39 orang pemenang Kempen Stay Safe & Win Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) 2021.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, kempen yang julung kali diadakan itu sebagai penghargaan kepada pendeposit yang sentiasa menyokong dan terus setia membuat simpanan di tabung berkenaan.

Menurut beliau, kempen terbahagi kepada tiga kategori iaitu Platinum, Gold dan Silver itu terbuka kepada pendeposit SSPN-i yang membuka akaun dan membuat penambahan deposit dalam tempoh promosi iaitu mulai 1 Jun 2021 sehingga 30 September 2021.

“Sangat mudah untuk menyertai kempen ini, pelanggan hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan deposit minimum RM200 dalam tempoh promosi dan mengekalkannya selama tiga bulan selepas tamat tempoh promosi iaitu bermula 1 Oktober 2021 sehingga 31 Disember 2021.

“Setiap simpanan bernilai RM50 akan melayakkan pendeposit mendapat satu cabutan dan penyertaan adalah secara automatik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Stay Safe & Win SSPN-i 2021 secara maya menerusi Facebook PTPTNOfficial pada Sabtu.

Tambahnya, hadiah utama yang ditawarkan adalah sebuah kereta Proton X50 bagi Kategori Platinum, manakala sebuah kereta Perodua Myvi 1.5cc bagi Kategori Gold dan sebuah motosikal Yamaha Y15zr untuk Kategori Silver.

Selain itu katanya, tidak ketinggalan bagi tempat kedua, ketiga dan saguhati juga turut disediakan dan amat berbaloi untuk dimenangi seperti barang kemas, komputer riba dan wang tunai.

“Pendeposit yang mempunyai akaun SSPN-i juga dapat menikmati pelbagai keistimewaan yang SSPN-i tawarkan seperti pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000, dividen yang kompetitif, perlindungan takaful ringgit ke ringgit secara percuma dan pemberian Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000 kepada pendeposit yang layak.

“SSPN-i juga merupakan skim simpanan patuh syariah dan dijamin oleh Kerajaan. Ibu bapa boleh membuka akaun atau membuat penambahan deposit SSPN-i secara atas talian di www.lovesspn.com," katanya.

Menurut Ahmad Dasuki, pelancaran kempen itu juga merupakan usaha PTPTN agar rakyat Malaysia sentiasa mengutamakan simpanan demi masa depan di samping mengamalkan penjagaan kesihatan diri dan keluarga dalam menghadapi cabaran Covid-19.

Beliau berkata, dengan mengamalkan 'Stay Home, Stay Safe', orang ramai masih dapat terus menyemarakkan lagi budaya penabungan dengan membuat simpanan melalui saluran dalam talian yang disediakan lebih mudah, cepat dan selamat.

“Marilah rebut peluang keemasan yang ditawarkan ini. Untuk maklumat lanjut, layari www.lovesspn.com,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!