Rampasan ketum terbesar di Johor

Beng Yeow menunjukkan air ketum yang sudah siap diproses dirampas dalam satu serbuan di Jalan Sri Putri, Taman Putri pada Jumaat.
Beng Yeow menunjukkan air ketum yang sudah siap diproses dirampas dalam satu serbuan di Jalan Sri Putri, Taman Putri pada Jumaat.
A
A
A

KULAI - Polis berjaya membongkar kegiatan memproses ketum terbesar di Johor selepas menangkap dua lelaki dan merampas 380 kilogram daun ketum serta 180 liter air ketum dalam satu serbuan di Jalan Sri Putri, Taman Putri pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 9 pagi, kedua-dua suspek berusia 39 dan 45 tahun itu didapati sedang memunggah stok ketum di sebuah rumah yang baharu sampai dari Pendang, Kedah.

Menurut beliau, serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Kulai dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai setelah melakukan risikan selama dua minggu.

Daun ketum yang baharu sampai sebelum diproses dirampas dalam satu serbuan di Jalan Sri Putri, Taman Putri pada Jumaat.
Daun ketum yang baharu sampai sebelum diproses dirampas dalam satu serbuan di Jalan Sri Putri, Taman Putri pada Jumaat.

"Selepas pemeriksaan lanjut, kita menemui sejumlah 38 bungkusan hitam yang mengandungi 50 peket plastik lutsinar disyaki daun ketum dengan anggaran kira-kira 380 kilogram dan empat tong yang setiap satunya berisi 30 peket plastik lutsinar berisi cecair berwarna merah kehijauan disyaki air ketum anggaran 180 liter.

"Turut dirampas, peralatan disyaki digunakan oleh suspek untuk memproses ketum iaitu dua tong periuk, dua set dapur, tungku memasak berserta hos, seunit penapis besi, sebuah gayung, sebatang penyenduk, seunit penapis, dua unit penimbang dan dua kotak mengandungi 107 botol disyaki ubat batuk.

"Anggaran keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM7,000," katanya dalam satu sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai di sini pada Sabtu.

Beng Yeow berkata, hasil siasatan lanjut kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam memproses dan mengedar ketum sejak Februari lalu di kawasan Ulu Tiram, Pasir Gudang, Masai dan Kulai.

Artikel Berkaitan:

Air ketum yang sudah siap diproses dirampas dalam satu serbuan di Jalan Sri Putri, Taman Putri pada Jumaat.
Air ketum yang sudah siap diproses dirampas dalam satu serbuan di Jalan Sri Putri, Taman Putri pada Jumaat.

Tambahnya, difahamkan air ketum yang siap diproses dijual antara RM10 hingga RM15 dan mereka mampu menjana pendapatan sehingga RM12,000 sebulan.

"Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dadah, namun mereka mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Katanya, reman akan dipohon ke atas kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret Kulai pada Sabtu dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.