FBM KLCI dijangka diniagakan dalam jajaran 1,570-1,600 minggu depan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) diunjur diniagakan dalam jajaran 1,570 hingga 1,600 mata minggu depan apabila para pelabur dijangka menumpukan kepada jumlah pemberian dos vaksinasi Covid-19 harian di negara ini, kata Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim.

Setakat 10 Jun, 2021, jumlah suntikan harian berjumlah melebihi 150,000 setiap hari bagi tiga hari berturut-turut.

“Trend vaksinasi seperti itu yang berterusan adalah amat penting bagi memastikan negara dapat menghampiri sasaran imuniti kelompok dengan lebih pantas yang seterusnya membolehkan pembukaan semula aktiviti perniagaan secara besar-besaran.

“Risiko negatif kepada FBM KLCI adalah berita Arab Saudi menarik balik komitmen pengurangan pengeluaran sukarelanya yang boleh membawa kepada penurunan haga minyak,” katanya kepada Bernama.

Adam berkata pada masa akan datang para pelabur akan menumpukan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dari 15-16 Jun, yang mana penggubal dasar akan mengemas kini unjuran ekonomi mereka buat pertama kali sejak Mac, terutamanya unjuran bagi inflasi dan kadar dasar.

Menurutnya, negara-negara lain yang juga akan mengadakan mesyuarat keputusan kadar dasarnya termasuklah Indonesia yang akan diadakan pada Khamis.

“Tidak ada sebarang pengumuman data ekonomi dari Malaysia manakala negara seperti India, Singapura dan Indonesia akan mengumumkan pertumbuhan eksport Mei,” katanya.

Dalam minggu dagangan singkat yang baru berakhir ini, FBM KLCI susut 3.29 mata kepada 1,575.16 daripada paras penutup 1,578.45 Jumaat minggu sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini dengan ditutup rendah bagi tiga hari berturut-turut, terjejas akibat daripada tekanan jualan dalam kaunter saham mewah.

Kaunter berkaitan penjagaan kesihatan mencatatkan penyusutan selepas program vaksinasi Covid-19 negara bermula secara besar-besaran.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, Indeks FBM Emas turun 14.61 mata kepada 11,503.19, Indeks FBMT 100 susut 18.42 mata kepada 11,187.16, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 91.97 mata kepada 12,636.33, FBM ACE jatuh 157.23 mata kepada 7,643.07 dan FBM 70 turun 5.48 mata kepada 14.934.43.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 108.10 mata kepada 15,252.78, Indeks Perladangan menguncup 70.31 mata kepada 6,699.49 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 1.05 mata kepada 192.33.

Indeks Tenaga turun 12.11 mata kepada 832,58, Indeks Penjagaan Kesihatan susut 40.06 mata kepada 3,026.01 dan Indeks Teknologi jatuh 1.38 mata kepada 79.38.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 22.95 bilion unit bernilai RM13.02 bilion daripada 36.95 bilion unit bernilai RM19.82 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan pasaran susut kepada 15.23 bilion saham bernilai RM11.04 bilion daripada 24.2 bilion saham bernilai RM16.35 bilion.

Jumlah dagangan waran turun kepada 1.06 bilion unit bernilai RM139.07 juta daripada 1.64 bilion unit bernilai RM180.66 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 6.65 bilion saham bernilai RM1.83 bilion daripada 11.10 bilion saham bernilai RM3.55 bilion. - Bernama