Felda di landasan terbaik pemulihan

Amiruddin dalam satu lawatan kerja ke projek halia muda di Wilayah Raja Alias.
Amiruddin dalam satu lawatan kerja ke projek halia muda di Wilayah Raja Alias.
A
A
A

Usaha pemulihan Felda yang giat dilaksanakan telah mula menampakkan hasil dan meletakkan Felda pada landasan terbaik untuk kembali ke zaman kegemilangannya seperti satu masa dahulu.

Menurut Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar, usaha pemulihan ini telah bermula seawal tahun 2019 melalui Pembentangan Kertas Putih Felda dan bertambah agresif dengan penubuhan Pasukan Khas Menangani Isu Felda yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata, pasukan ini telah mengemukakan cadangan pelan pemulihan Felda yang kemudiannya telah diluluskan oleh Kabinet pada 14 Oktober 2020.

Kelulusan ini telah membawa kepada usaha pengambilalihan kepentingan dalam FGV yang menjadi titik permukaan kepada penstrukturan semula model perniagaan Kumpulan Felda, selain mengembalikan tanah LLA seluas 350,000 hektar kepada Felda.

Pengambilalihan ini juga akan membolehkan Felda menumpukan fokus dan usaha dalam meningkatkan produktiviti ladang bagi mengukuhkan pendapatan Felda dan juga warga peneroka.

Selain itu, Felda juga akan mendapat kawalan ke atas industri hiliran yang diceburi FGV termasuk kilang penapisan dan pemprosesan minyak sawit selain produk-produk hiliran yang dihasilkan di pasaran.

Dari aspek memperkasakan operasi perladangan, Inisiatif 2523 telah diperkenalkan oleh Pengerusi Felda yang menyasarkan produktiviti buah tandan segar sebanyak 25 tan per hektar setahun serta kadar perahan setinggi 23% menjelang tahun 2023.

Menurut Amiruddin, Felda turut memperkenalkan Sistem Pengurusan Ladang Pintar seiring dengan era Revolusi Industri 4.0.

Artikel Berkaitan:

“Sistem ini yang dikenali sebagai SPMS turut mengaplikasikan Internet of Things (IoT) mampu meningkatkan kecekapan operasi dan dijangka dapat menjimatkan kos pembajaan sehingga RM23 juta setahun,” kata Amiruddin.

Sistem ini dapat memantau operasi ladang dengan lebih efektif melalui ketepatan data yang diperoleh secara realtime. Peneroka Felda juga akan mendapat manfaat secara langsung melalui pengurangan kos operasi daripada pemakaian sistem ini.

Program PPP

Projek cili fertigasi antara yang dilaksanakan Felda bagi Program Pembangunan Peneroka.
Projek cili fertigasi antara yang dilaksanakan Felda bagi Program Pembangunan Peneroka.

Dalam usaha meningkatkan pendapatan peneroka, Felda bukan sahaja memberikan penekanan terhadap aspek perladangan tetapi turut memperkenalkan Program Pembangunan Peneroka (PPP) dengan objektif untuk menambah pendapatan warga peneroka melalui aktiviti pertanian dan ternakan bernilai tinggi, selain mengurangkan kebergantungan peneroka terhadap hasil komoditi sawit dan getah yang berdepan dengan isu ketidaktentuan harga pasaran.

Menurut beliau, sehingga Mei 2021, sebanyak 1,392 projek PPP telah diluluskan yang akan memberi manfaat kepada 31,915 orang peneroka sama ada penyertaan secara individu, koperasi rancangan atau melalui badan di peringkat rancangan.

Melalui projek ini juga, Felda telah menjalin kerjasama dengan Agrobank untuk menyediakan kemudahan pembiayaan, khidmat nasihat serta kepakaran untuk memastikan objektif pelaksanaan projek dapat dicapai.

Bagi tujuan ini, Felda telah menyediakan geran projek dengan jumlah maksimum RM20,000 bagi setiap peserta yang memohon, bergantung kepada jenis projek.

Menerusi model baharu bersama agrobank ini, peneroka mampu memperoleh pendapatan sehingga RM1,000 sebulan bagi kategori plasma dan sehingga RM1,000 setahun bagi kategori koperasi/badan rancangan melalui pembahagian dividen tahunan.

Ini sedikit sebanyak akan membantu meningkatkan pendapatan isi rumah peneroka selain pendapatan daripada hasil ladang sawit atau getah. Beberapa projek koperasi yang telah dijalankan adalah seperti projek halia muda di Felda Raja Alias, projek cili fertigasi di Felda Sertik serta projek nanas MD2 di gugusan Felda Besout.

Selain daripada inisiatif yang bersifat material, Felda juga menerapkan perubahan dari segi pemikiran dan sahsiah warga peneroka. Ini termasuk melaksanakan inisiatif Sedekah300 yang menerapkan konsep keberkatan melalui pemberian sedekah.

Walaupun tiada paksaan dalam sedekah ini, warga peneroka telah berjaya menyumbang hampir RM10 juta dalam tempoh enam bulan sahaja. Semua sumbangan ini telah pun diserahkan kepada Majlis Agama Islam setiap negeri.

Sistem kewangan teratur

Produktiviti ladang dijangka meningkat sehingga 25 tan perhektar dengan penggunaan teknologi dan pertanian pintar.
Produktiviti ladang dijangka meningkat sehingga 25 tan perhektar dengan penggunaan teknologi dan pertanian pintar.

Dalam tempoh setahun ini, Felda turut menambah baik sistem kewangan untuk memastikan pengurusan yang lebih mampan. Ini menjadi asas kepada komitmen untuk memantapkan tadbir urus bagi mengembalikan reputasi organisasi ini.

Sistem kewangan yang telah ditambah baik ini juga telah berjaya memuktamadkan penyata hutang peneroka. Ini akan meningkatkan ketelusan dalam penyediaan penyata hutang peneroka pada masa hadapan selain mengembalikan kepercayaan peneroka terhadap pengurusan Felda.

Felda juga sedang menyelesaikan isu pewarisan yang kian meruncing berikutan peningkatan umur peneroka asal di samping sistem perwarisan Felda yang tertakluk kepada Akta Penempatan Berkelompok (GSA) yang ketat.

Oleh itu, sistem ePerwarisan diwujudkan untuk menyelesaikan masalah ini. Felda memberikan perhatian serius terhadap perkara ini memandangkan isu ini memberi impak kepada pengurusan ladang secara keseluruhan.

Dengan adanya inisiatif-inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan, ia menjadi bukti bahawa Felda kini berada di landasan yang tepat untuk kembali menjadi organisasi yang menjulang tadbir urus dan melindungi kepentingan warga peneroka.

Inisiatif 2523

* Buah tandan segar - 25 tan per hektar setahun

* Kadar perahan - 23% menjelang tahun 2023

Penggunaan Teknologi - SPMS

* Penjimatan kos baja - RM23 juta setahun

PROJEK PPP: Sehingga Mei 2021

* 1,392 projek diluluskan

* 31,915 terima manfaat