PTKL tidak mencatatkan dagangan minggu hadapan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PASARAN Timah Kuala Lumpur (PTKL) akan ditutup untuk dagangan pada minggu depan berikutan penggantungan operasi Malaysia Smelting Corporation Bhd (MSC) bagi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKP), kata seorang peniaga.

Bagaimanapun, pembukaan semula pasaran bergantung kepada pengumuman kerajaan mengenai PKP.

Malaysia melaksanakan langkah sekatan selama dua minggu untuk semua sektor sosial dan ekonomi dari 1 hingga 14 Jun.

“Dagangan PTKL bergantung kepada pembukaan MSC sebagai peniaga utamanya. Sehingga pengumuman selanjutnya dibuat oleh MSC, PTKL akan menggantung semua aktiviti,'' katanya kepada Bernama.

Rabu lepas, MSC mengeluarkan notis 'force majeure' dan menggantung sementara operasi perlombongan bijih timah dan peleburan dari 4 hingga 14 Jun sebagai pematuhan kepada penguatkuasaan PKPB.

Untuk minggu yang baru berakhir, PTKL diniagakan hanya untuk sehari pada Selasa berikutan minggu cuti yang dipendekkan termasuk penutupan MSC.

Harga timah tempatan ditutup AS$100 lebih rendah pada AS$31,550 satu tan pada Selasa berbanding AS$31,650 semasa penutupan sebelum ini, dengan sokongan belian dari China, Korea Selatan, Jepun, Taiwan, dan negara-negara Eropah.

Memandangkan hanya sehari dibuka, jumlah dagangan mingguan merosot kepada 13 tan daripada 60 tan.

Artikel Berkaitan:

Perbezaan harga antara PTKL dan London Metal Exchange menyempit kepada premium AS$915 satu tan daripada premium sebanyak AS$1,450 minggu lepas. - Bernama