Pahang rancang bina stesen bersepadu di Temerloh

Mohd Sharkar
Mohd Sharkar
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang merancang membina sebuah stesen bersepadu di daerah Temerloh apabila Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) siap dibina.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, Temerloh merupakan lokasi pertemuan antara Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan juga ECRL.

"Kita akan merancang pembangunan di kawasan stesen bersepadu itu yang dan orang ramai boleh memilih sama ada menggunakan perkhidmatan KTM atau ECRL.

"Temerloh juga bakal wujud bandar baharu yang lebih tersusun untuk melonjakkan sektor pelancongan dan menjadi penggerak baharu ekonomi di daerah ini.

"Saya yakin setiap rakyat dapat menerima kesan daripada limpahan ekonomi yang wujud di kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

ECRL dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara berkembang lebih rancak menerusi keupayaan mengangkut lebih banyak kargo dari Pelabuhan Kuantan di Kuantan, Pahang menuju ke Pelabuhan Klang di Selangor.

Tambah Mohd Sharkar, laluan ECRL dari Kuala Lumpur menuju Kelantan menerusi Pahang dan Terengganu bakal membuka lembaran baharu dari segi kemajuan pengangkutan awam sekali gus 'new horizon' kepada Malaysia.

"Kawasan penempatan awam yang menjadi stesen perhentian ECRL juga akan menikmati impak positif sekali gus mempengaruhi pembangunan ekonomi sekitar termasuk di daerah Temerloh.

Artikel Berkaitan:

"Tentunya daerah Temerloh juga bakal berubah wajah kerana kawasan ini turut terlibat dengan pelaksanaan projek berimpak tinggi berkenaan," katanya.