X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Hoe Yean kejutkan Welson acara 400m gaya bebas

Khiew Hoe Yean
A
A

PERENANG muda negara, Khiew Hoe Yean melakukan kejutan pada hari pertama Kejohanan Terbuka Malaysia ke-63 dengan mengatasi perenang Olimpik, Welson Sim untuk menjuarai acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat.

Catatan masa 3:51.56 saat (s) oleh perenang muda berusia 19 tahun itu juga melepasi Masa Pemilihan Olimpik (OST) iaitu 3:53.58s.

Welson, yang memegang rekod kebangsaan dengan catatan masa 3:49.29s, hanya mampu merakamkan masa 3:57.74s diikuti Sebastian Soon dengan masa 4:02.63s.

Hoe Yean, yang menyapu bersih lapan pingat emas dalam Kejohanan Jemputan Remaja Peringkat Umur Kebangsaan Mac tahun lalu berkata, beliau berpuas hati dengan catatan masa walaupun masih belum menjamin slot Sukan Olimpik Tokyo.

"Saya agak berpuas hati dengan catatan masa hari ini (Jumaat), ia satu pengalaman hebat kerana tidak mempunyai sebarang pertandingan sejak Mac tahun lalu. Jadi saya gembira telah mencapai kategori B untuk Olimpik.

"Rasa hebat bersaing dengan Welson dan saya rasa masih perlu belajar banyak daripadanya. Secara ikhlas, masa peribadi terbaik Welson masih lebih baik daripada saya. Saya tidak tahu sama ada saya boleh pergi ke Sukan Olimpik tetapi ia salah satu impian dan sasaran sejak menceburi sukan renang ini,” katanya.

Perenang Kuala Lumpur itu akan menyertai acara 200m kuak lentang esok diikuti acara 200m dan 800m gaya bebas pada hari berikutnya.

Hanya perenang memenuhi Masa Kelayakan Olimpik (OQT) dalam acara masing-masing menjelang 27 Jun ini dijamin slot di Sukan Olimpik. Dalam acara 400m lelaki, masa OQT ialah 3:46.78s.

Perenang juga boleh layak di bawah OST berdasarkan penyertaan sejagat, bermakna sebuah negara yang tiada perenang yang layak akan dibenarkan sehingga seorang perenang lelaki dan seorang wanita untuk temasya sukan Tokyo itu.

Welson, sebelum ini mencatatkan masa OST yang lebih baik iaitu 3:49.55s untuk memenangi pingat perak acara 400m gaya bebas pada Sukan SEA 2019.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!