Penjawat awam, suami ditahan babit kes dadah

Antara barang kes yang dirampas polis dalam serbuan kira-kira jam 3.05 petang di sebuah rumah di Masjid Tanah.
Antara barang kes yang dirampas polis dalam serbuan kira-kira jam 3.05 petang di sebuah rumah di Masjid Tanah.
A
A
A

MELAKA - Polis Melaka menahan seorang penjawat awam dan suaminya selepas dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah pada Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, suspek wanita berusia 31 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 3.05 petang di sebuah rumah di Masjid Tanah.

"Ketika serbuan, suspek bersendirian di rumah yang mana kediaman itu turut dijadikan sebagai bengkel motosikal.

"Pemeriksaan di lantai garaj rumah menemukan satu beg berzip, di dalamnya ada sembilan peket lut sinar dan dua tiub straw disyaki heroin seberat 56.19 gram bernilai RM2,800," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut beliau berkata, turut ditemukan dalam serbuan itu lima biji pil dadah jenis eramin 5 anggaran nilai RM75.

"Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Masjid Tanah untuk siasatan lanjut.

"Polis turut menahan seorang mekanik iaitu suami suspek berusia 35 tahun selepas dia hadir ke balai polis untuk bertemu isterinya kira-kira jam 7 malam.

"Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau bagaimana pun hasil ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis morfin manakala isterinya negatif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, masing-masing direman selama enam hari bermula Khamis dan kes seterusnya disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Dalam pada itu katanya, suspek wanita itu merupakan seorang juruteknik komputer di sebuah sekolah rendah dan telah bertugas selama 11 tahun.

"Tangkapan dilakukan oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis daerah Alor Gajah," katanya.