Buat apa persatuan baharu?

Noh Abdullah
Noh Abdullah
A
A
A

“SAYA nak tanya apa keperluan untuk tubuh persatuan baharu?

Itu reaksi mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Noh Abdullah yang ternyata terkilan dengan kemelut melanda badan induk sepak takraw negara belum menunjukkan jalan penyelesaian biarpun Datuk Seri Ahmad Ismail melepaskan jawatan presiden.

Malah menurut Noh percaya badan induk yang mempunyai sejarah tersendiri dalam sejarah pembangunan sepak takraw negara masih boleh diselamatkan sekiranya semua pihak menghayati kepayahan generasi sebelum ini dalam usaha menghidupkan persatuan tertua negara tersebut.

“Saya hairan mengapa terdapat segelintir pihak masih lagi tidak boleh memaafkan Datuk Seri Ahmad Ismail walaupun beliau sudah pun memohon maaf secara terbuka dan mengundur diri dari kerusi nombor satu PSM bagi membolehkan proses reformasi PSM.

“Kepada segelintir pihak yang begitu teruja untuk menubuhkan persatuan baharu, saya amat berharap supaya mereka melihat semula sejarah asal usul persatuan sebelum ini.

“Masa saya menjadi Ketua Pengarah MSN dulu, kami dan penggiat sukan sepak takraw menggunakan logo PSM untuk memperkenalkan sukan ini ke seluruh dunia sehingga dikenali pada hari ini,” kata Noh kepada Sukan Sinar.

Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNP) sebelum itu menjadi ahli gabungan terbaharu mengumumkan keluar daripada badan induk tersebut berkuatkuasa serta-merta pada Jumaat.

Menurut Yang Dipertua PSNP, Tengku Datuk Muhamad Sultan Abu Bakar, keputusan itu selepas mengikuti dan mengambil maklum perkembangan isu semasa yang membabitkan sukan takraw di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu menyaksikan PSNP mengikuti jejak Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap), Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT).

Turut sama mengikuti langkah meninggalkan PSM ialah Persatuan Sepak Takraw Perak (Persedar), Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans), Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (Astaka).

Jelas Noh yang pernah menduduki kerusi nombor satu di MSN dari 1982 hingga 1988, sewajarnya ahli gabungan dan bekas ahli gabungan kembali menghayati semula sejarah penubuhan PSM dengan meletakkan kepentingan persatuan tertua itu keutamaan berbanding agenda peribadi.

“Saya tidak benci A atau benci B dalam kemelut PSM ini, apa yang saya mahu sebagai antara orang lama turut sama bersama mereka bermandi keringat dalam memartabatkan sukan warisan kita, adalah mereka duduk bersama berbincang melakukan penambahbaikan terhadap PSM.

“Sekiranya tidak berpuas hati dengan kepimpinan, tadbir urus dan perlembagaan PSM, gunakanlah pendekatan profesional yakni pemilihan persatuan untuk melakukan transformasi.

“PSM merupakan hasil buah tangan kita yang dikenali di seluruh dunia, jadi kita tunjukkan kepada dunia bagaimana cara kita menyelesaikan masalah rumahtangga kita dengan cara dan gaya budaya kita,” katanya.

Dalam pada itu Noh menyarankan Pesuruhjaya Sukan (PJS) menggunakan peruntukan di bawah badan tersebut sebagai jalan terakhir mengakhiri kemelut melanda sekiranya kedua-dua belah pihak masih gagal menemui jalan penyelesaian.

Malah menurut Noh, pendekatan itu adalah pilihan terbaik dalam memastikan atmosfera industri sepak takraw negara kembali harmoni demi pembangunan sukan tersebut pada masa depan.

“Saya puji pendekatan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebelum ini yang mahu kedua-dua pihak kembali duduk semeja bersama Pesuruhjaya Sukan.

“Saya yang pernah terlibat dalam pengurusan badan sukan percaya Pesuruhjaya Sukan mempunyai 'authority' menyelesaikan isu ini, namun seperti dijelaskan Menteri sebelum ini saya juga percaya ada formula terbaik,” katanya.