Terpaksa cari internet di bandar, pengorbanan Nurul Adni berbaloi

Nurul Adni
Nurul Adni
A
A
A

SHAH ALAM - Kehilangan ayah pada usia yang muda dan ujian pandemik Covid-19 bukanlah alasan mengalah buat insan bernama Nurul Adni Ruslan, 18, yang memperoleh 9A dalam SPM 2020 selepas keputusan itu diumumkan baru-baru ini.

Nurul Adni yang berasal dari keluarga yang sederhana di Pasir Puteh, Kelantan berkata, keputusan cemerlang yang dibawa pulang itu merupakan penghargaan terbesar buat keluarganya terutama arwah ayah yang ingin melihat dirinya bergelar doktor suatu hari nanti.

"Kehilangan ayah merupakan pembakar semangat buat saya. Arwah selalu berpesan untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi seorang doktor pada masa hadapan.

"Sehingga kini, saya masih memegang kata-kata ayah untuk sentiasa berusaha dalam pelajaran sehingga berjaya dan meneruskan cita-cita saya serta impian arwah ayah untuk menjadi seorang doktor.

"Saya juga berharap keputusan SPM yang dimiliki dapat menjadi batu locatan untuk membaiki taraf hidup dan membantu keluarga serta menjadi contoh dan teladan buat adik adik yang lain," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Nurul Adni yang juga anak kedua daripada lima orang adik beradik berkata, cabaran terbesar bagi calon SPM pada musim pandemik ini adalah proses pembelajaran sistem pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) terutamanya pelajar di luar bandar.

"Di kawasan kediaman saya, jaringan internet tidak menyeluruh. Adakalanya saya tidak dapat mengikuti kelas yang dijalankan kerana jaringan internet terputus sehingga memerlukan saya untuk ke bandar berhampiran untuk menyertai sesi pembelajaran.

"Saya berasa agak tertekan kerana suasana pembelajaran yang berbeza kerana tidak belajar berdepan dengan guru, komunikasi dengan guru yang terhad dan gangguan internet di rumah.

Artikel Berkaitan:

"Tambahan pula, tarikh peperiksaan SPM yang acap kali ditunda membuatkan saya putus asa pada awalnya namun, perkara ini memberi ruang kepada saya untuk memantapkan persediaan SPM dan memberi semangat untuk membuktikan bahawa pandemik bukanlah halangan untuk saya berjaya,"katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, SPM 2020 catat GPN 4.80 berbanding 4.86 pada tahun 2019 sekaligus merupakan gred purata pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun.

Tambahnya, pencapaian calon SPM 2020 di luar bandar adalah lebih baik daripada calon di bandar.

Dalam pada itu, Nur Adriyana Ahmad Fazli, 18, yang turut memperoleh 9A berkata, calon SPM pada tahun lepas mengalami tekanan yang berbeza berbanding sebelum ini apabila pandemik melanda negara dan terdapat banyak perubahan yang berlaku secara tiba-tiba.

Nur Adriyana mengakui perlu menyesuaikan diri melalui peperiksaan SPM dalam suasana Covid-19.
Nur Adriyana mengakui perlu menyesuaikan diri melalui peperiksaan SPM dalam suasana Covid-19.

"Cabaran utama adalah perubahan yang mendadak pada masa yang singkat. Kami perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu dan sistem pembelajaran baru ketika menghadapi salah satu peperiksaan terbesar negara dan ini tidak mudah.

"Kami dibekalkan banyak masa untuk mengulangkaji, namun garis masa itu samar-samar dan tidak dapat dijangka. Saya banyak belajar untuk menggunakan pelbagai sumber dengan pendekatan yang berbeza dan kemudahan gajet memainkan peranan penting dalam membantu pembelajaran," katanya.

Nur Adriyana yang juga merupakan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah, Melaka, berkata, terdapat pelbagai penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh kerajaan agar pelajar SPM akan datang lebih bersedia menduduki peperiksaan tersebut.

"Kerajaan sepatutnya menyediakan lebih awal pelan atau program alternatif untuk pelajar faham dan menyesuaikan diri dengan lebih mudah dan cepat di waktu pademik ini.

"Maklumat serta informasi perlu lebih ringkas dan seragam sebagai bimbingan pada pelajar untuk menempuh SPM dalam musim pandemik yang tidak menentu," katanya.