Status Piala AFC masih jadi tanda tanya

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
A
A
A

PENGANJURAN Piala AFC masih menjadi tanda tanya selepas Singapura membuat keputusan untuk menarik diri daripada menjadi tuah rumah kejohanan tersebut.

Situasi itu bukan sahaja memberi kesan kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC (TFC), malah turut memberi impak terhadap Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menzahirkan kegusaran bahawa jadual berkemungkinan akan dipinda jika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membuat keputusan meminda jadual Piala AFC 2021 ke tarikh lain daripada jadual asal.

“Merujuk kepada kenyataan AFC bertarikh 27 Mei 2021, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) telah menarik diri sebagai hos Piala AFC 2021 akibat peningkatan penularan Covid-19 di negara berkenaan dan MFL telah dimaklumkan AFC akan memaklumkan venue baharu.

“AFC melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor John mendedahkan pihaknya masih berusaha untuk mengintai penganjur baharu saingan Piala AFC,” katanya.

Beliau memberitahu, jadual Liga-M tidak boleh dipinda melebihi November berikutan kebanyakan kontrak pemain dan pegawai setiap kelab hanya sah sehingga penghujung bulan berkenaan.

“MFL melalui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menyatakan secara rasmi kepada AFC supaya sebarang pindaan bagi tuan rumah kejohanan itu hendaklah dibuat berlandaskan jadual asal bagi memastikan perangkaan penjadualan liga domestik tidak terjejas,” jelasnya.

Artikel Berkaitan: