Syabu RM4.2 juta dalam bungkusan teh dirampas

Aminuddin (tengah) menunjukkan dadah yang disorok dalam bungkusan teh cina tersebut.
A
A

JOHOR BAHRU - Kira-kira 30 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM4.2 juta berjaya dirampas Maritim Malaysia Zon Batu Pahat menerusi satu serbuan yang dilakukan semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 7.40 petang di muara sungai Parit Jawa, Batu Pahat itu, pihak maritim turut bertindak menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai mahu menyeludup keluar barangan terlarang itu ke negara jiran.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim, Aminuddin Abdul Rashid berkata, tangkapan berkenaan merupakan hasil kerjasama risikan antara Maritim Zon Batu Pahat dengan Pasukan Risikan Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

“Risikan dan intipan telah dilakukan hampir tiga bulan bagi mengenal pasti kegiatan ini. Dan ketika serbuan dibuat kita telah berjaya menemui sejumlah dadah dipercayai syabu seberat 30kg.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, kesemua dadah ini disorok dengan dibungkus macam teh Cina. Ia juga diletakkan di dalam dua tong untuk mengelakkan dicurigai pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, hasil siasatan awal juga mendapati kesemua dadah tersebut disyaki akan di bawa ke sempadan negara untuk dijual kepada pihak seterusnya.

“Dalam operasi ini, kita turut bertindak merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang digunakan suspek dan beberapa telefon bimbit,” katanya.

Beliau berkata, kes kemudian diserahkan kepada Unit Siasatan Zon Maritim Batu Pahat untuk disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.