Bawa pulang 22A untuk ibu ayah

Nurul Syazwina Anuwar (kiri) bersama kakak nya, Nurul Syazwani Anuwar (kanan), 18, yang memperoleh keputusan 11A dalam SPM 2020.
Nurul Syazwina Anuwar (kiri) bersama kakak nya, Nurul Syazwani Anuwar (kanan), 18, yang memperoleh keputusan 11A dalam SPM 2020.
A
A
A

SHAH ALAM - Pucuk dicita ulam mendatang, begitulah luahan kembar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 apabila berjaya memperoleh '22A' yang dianggap hadiah tak ternilai buat ibu bapa mereka walaupun mengambil peperiksaan di ambang pandemik.

Nurul Syazwina Anuwar, 18, berkata, dia amat teruja dan gembira apabila kembarnya, Nurul Syazwani Anuwar, turut memperoleh kejayaan dan keputusan 11A dalam SPM seperti dirinya.

"Saya sangat teruja apabila mendapat tahu saya dan kakak mendapat 11A dalam SPM. Kami secara tidak langsung membawa pulang hadiah '22A' kepada ibu bapa kami di rumah yang sangat bangga akan pencapaian kami berdua.

"Walaupun mempunyai minat yang berlainan, kami beniat untuk bersama-sama menyambung pelajaran di Jordan jika ada kesempatan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Walaupun mendapat keputusan cemerlang yang luar biasa, kembar dua beradik itu tidak terkecuali daripada tekanan menghadapi peperiksaan penting pada musim Covid-19 terutamanya apabila SPM ditangguhkan beberapa kali.

"Sejujurnya, kami rasa tertekan apabila SPM ditangguhkan ditambah pula dengan sistem pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) di mana suasana belajar di rumah agak sukar untuk memberi perhatian sepenuhnya apabila tiada guru di depan.

"Lebih mengeruhkan keadaan apabila ramai orang yang melemparkan kata-kata negatif sehingga kami terduduk menangis dan berasa kami tidak boleh harungi cabaran ini. Namun, kami bangkit demi ibu bapa dan cita-cita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Syazwina dan Syazwani menunjukkan keputusan '22A' yang disemak secara dalam talian semalam bersama kedua ibu bapa mereka.
Syazwina dan Syazwani menunjukkan keputusan '22A' yang disemak secara dalam talian semalam bersama kedua ibu bapa mereka.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, SPM 2020 merekodkan gred purata pencapaian terbaik sejak 2016.

Bagi Nurul Syazwani Anuwar, dia amat bersyukur mempunyai adik kembar yang boleh menemaninya mengulangkaji bersama di rumah semasa pelaksanaan PDPR.

"Kami bernasib baik kerana kami masih mempunyai satu sama lain untuk belajar dan membuat ulangkaji bersama semasa berada dalam detik yang sukar ketika PDPR. Saya tidak berasa terlalu sunyi kerana ada 'kawan' yang menemani dan berkongsi ilmu.

"Walaupun kami bukan dari sekolah yang sama, kami akan mengajar antara satu sama lain di rumah agar tidak ketinggalan. Kami sentiasa menyibukkan diri dalam pelajaran dan pada waktu lapang, kami akan berjaga malam untuk belajar," katanya.

Turut menyokong pendapat adiknya, Nurul Syazwani Anuwar, berkata, PDPR banyak memberi kesan terhadap mental dan fizikal sebagai seorang pelajar SPM untuk fokus dengan pelbagai gangguan yang diterima.

"Pada mulanya sangat susah dan kami tiada semangat untuk belajar. Kami cuba belajar sesuaikan diri dan fokus semasa kelas online berjalan namun agak sukar apabila ada sahaja gangguan di samping suasana yang tidak sesuai di rumah.

"Kebanyakan rakan seperjuangan kami menghadapi masalah akses internet dan kekurangan kemudahan teknologi. Oleh itu, kerajaan wajar memberi bantuan sama ada gajet atau capaian internet kepada pelajar bagi memudahkan sesi pembelajaran di rumah," katanya.

Mereka turut sependapat bahawa antara kunci kejayaan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM adalah mengamalkan solat Dhuha dan puasa sunat setiap isnin dan khamis bersama di samping doa kedua ibu bapa.