Reformasi adab berpolitik tangani rasuah

 Malaysia memerlukan satu mekanisme melalui penubuhan sebuah badan yang dapat mengawal selia sikap dan juga amalan budaya politik diamalkan. Gambar kecil: Ahmad Murad
Malaysia memerlukan satu mekanisme melalui penubuhan sebuah badan yang dapat mengawal selia sikap dan juga amalan budaya politik diamalkan. Gambar kecil: Ahmad Murad
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha menangani rasuah perlu melibatkan pelaksanaan reformasi terhadap budaya politik negara untuk membawanya ke arah yang lebih beradab.

Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, perubahan tersebut perlu dilakukan kerana politik memainkan peranan yang sangat kuat kepada rakyat Malaysia.

Dalam usaha mengatasi rasuah, jelas beliau, langkah mereformasi budaya politik negara dilihat tidak dianggap sama penting dengan reformasi terhadap institusi lain seperti Parlimen, kehakiman, sektor korporat dan sebagainya.

“Pada saya mungkin (semua pihak) terlepas pandang kerana ia dianggap sebagai tidak wajar.

“Tetapi kalau kita tidak menekankan gelagat dan pengamalan adab dalam budaya politik, maka ia akan mempengaruhi institusi lain yang akan merosakkan peraturan-peraturan negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Ahmad Murad, antara ciri budaya politik tidak beradab yang diamalkan khususnya oleh kebanyakan pemimpin dan ahli parti politik di Malaysia adalah mereka terperangkap atau mudah dipengaruhi oleh dasar serta sentimen sempit sehingga mengetepikan amalan dan pemikiran rasional.

Tambah beliau, ciri lain budaya politik Malaysia adalah kecenderungan pemimpin dan ahli parti politik yang terlampau fanatik terhadap sesuatu parti.

“Falsafahnya adalah tidak berdasarkan kepada pertimbangan betul atau salah. Betul ataupun tidak, itu parti aku. Jadi aku kena selamatkan parti aku dulu, sama ada parti aku betul ataupun tidak.

“Budaya amalan politik ini, perlu diubah sebab kalau tidak ubah maka ia akan mempunyai implikasi kepada penyalahgunaan kuasa, perpecahan dan impak negatif lain hanya disebabkan mahu mengangkat parti politik kita sahaja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Ahmad Murad berpendapat, Malaysia memerlukan satu mekanisme melalui penubuhan sebuah badan yang dapat mengawal selia sikap dan juga amalan budaya politik.

Beliau berkata, penubuhan badan kawal selia dicadangkan itu juga hanya melakukan pengawasan dan pemantauan kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti parti politik seperti ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri serta ahli mana-mana parti politik.

“Semua kawal selia ini menekankan kepada adab atau apa yang dipanggil di barat sebagai etika. Hukuman dikenakan jika seseorang itu melanggar kod tatasusila (adab) yang dikuatkuasakan oleh badan kawal selia itu.

“Antara kesalahan yang mungkin boleh dimasukkan dalam kod adab itu seperti melakukan kenyataan politik menyeleweng, putar belit dan termasuklah penerimaan jawatan tidak berdasarkan syarat mahupun kelayakan sepatutnya.

“Ini bukan mahkamah yang melaksanakan hukuman undang-undang tetapi satu badan kawal selia untuk pengamal politik. Mungkin hukuman adalah dari segi mendesak, mencela, meminta maaf secara formal atau mungkin setakat denda jika melanggar adab politik,” ujar beliau lagi.

Jelasnya, selain daripada pembinaan kod adab yang dibuat berdasarkan kepada peraturan tertentu mengenai budaya politik, badan tersebut juga boleh menjadikan Rukun Negara sebagai panduan ataupun tambahan kepada kod pelaksanaan sedia ada.