Mesir bangunkan semula Gaza dengan sumbangan RM2 bilion

Sebuah bangunan musnah akibat serangan Tentera Udara Israel yang berlaku di Gaza pada bulan lalu. - Foto AFP
Sebuah bangunan musnah akibat serangan Tentera Udara Israel yang berlaku di Gaza pada bulan lalu. - Foto AFP
A
A
A

MESIR dilaporkan berjanji untuk menyumbangkan sebanyak AS$500 juta (RM2 bilion) untuk pembangunan semula Gaza setelah menjadi pengantara antara rejim Zionis dengan anggota-anggota pejuang Hamas dalam gencatan senjata melibatkan kedua-dua pihak.

Gencatan senjata itu dipersetujui selepas kedua-dua pihak bertempur selama 11 hari pada bulan lalu yang menyebabkan lebih 200 penduduk Palestin termasuk kanak-kanak terkorban dan lebih 1,900 lagi cedera.

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi sebelum ini telah berjanji untuk memberikan bantuan kewangan bagi membina semula Gaza selepas banyak bangunan dan kemudahan infrastrukturnya musnah manakala kehidupan seharian penduduk Palestin turut terjejas akibat serangan Tentera Udara Israel.

Sisi sekali lagi dilihat memainkan peranan penting dalam menamatkan pertempuran antara rejim Zionis dengan Hamas selepas berjaya melakukannya semasa Perang Gaza pada tahun 2014.

Bantuan itu turut melibatkan kerja-kerja pembinaan yang dilakukan oleh firma-firma Mesir bagi membangunkan semula Gaza selepas Presiden tersebut berkuasa di negaranya pada tahun 2014.

Isu Gaza bukanlah asing buat Mesir kerana negara itu pernah mentadbir Gaza dari tahun 1959 hingga 1967.

Pada tahun 1967, Mesir kalah kalah dalam Peperangan Enam Hari dengan Israel menyebabkan rejim Zionis merampas Gaza daripadanya.

Sebelum itu, semasa perang Arab-Israel berlangsung pada tahun 1948, Liga Arab menubuhkan kerajaan Palestin untuk mentadbir Gaza yang berada di dalam wilayah Mesir manakala semua penduduk di wilayah tersebut diberikan pasport Palestin.

Artikel Berkaitan:

Namun, kerajaan itu tidak mempunyai sebarang kuasa eksekutif dan dianggap oleh beberapa pihak sebagai satu percubaan untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Kerajaan Mesir juga tidak memberikan taraf kewarganegaraan kepada penduduk Palestin dan selepas kerajaan Palestin itu dibubarkan pada tahun 1959, Kaherah memguasai semula Gaza sehingga ia kalah kepada Israel dalam Perang Enam Hari.

Presiden pertama Mesir ketika itu, Gamal Abdel Nasser mengumumkan pembubaran kerajaan Palestin tersebut kerana ia dianggap gagal untuk mengedepankan isu-isu mengenai Palestin.

Sejak Gaza dirampas rejim Zionis itu, penduduk Palestin menghadapi banyak masalah antaranya ialah peluasan kawasan peneroka haram Yahudi, rumah-rumah mereka dirampas, isu-isu kemiskinan selain menjadi mangsa penindasan dan kekejaman Israel.

Bagaimanapun, sejak Jumaat minggu lalu, berpuluh-puluh jentolak, kren dan trak memasuki Gaza bagi memulakan projek pembangunan semula seperti yang telah dijanjikan oleh Presiden Mesir itu.

Sebuah lori membawa bahan binaan dari Mesir tiba di Lintasan Rafah, Gaza pada 4 Jun lalu. - Foto AFP
Sebuah lori membawa bahan binaan dari Mesir tiba di Lintasan Rafah, Gaza pada 4 Jun lalu. - Foto AFP

Infrastruktur projek berskala besar seperti pembinaan kawasan pentadbiran baharu di Gaza turut dirancang oleh Mesir itu.

"Tidak ragu-ragu lagi bahawa Sisi menganggap bantuan pemulihan semula itu sebagai satu pelaburan untuk mendapatkan pengaruh politik di sempadan Mesir dengan Gaza dan di peringkat antarabangsa," kata seorang penganalisis ekonomi serta politik Asia Barat, Sarah Smierciak kepada AFP.

Terdapat perkembangan yang lebih menarik iaitu pembangunan semula Gaza itu menunjukkan Mesir boleh menerima Hamas sebagai rakannya.

Seorang pakar sains politik di Universiti Kaherah, Profesor Mustapha Kamel al-Sayyid berkata kepada AFP bahawa tidak lama lagi, Hamas akan membantu Mesir mengawal sempadan negara itu dengan Gaza.

Lintasan Rafah di Gaza merupakan satu-satunya laluan penduduk Palestin ke dunia luar yang tidak dikawal oleh Israel.

Namun, ia tetapi ditutup sejak tahun lalu atas sebab-sebab keselamatan tetapi dibuka semula oleh kerajaan Mesir sejak bulan lepas bagi membawa mangsa-mangsa serangan Tentera Udara rejim Zionis untuk dirawat di hospital-hospital negara berkenaan.

Kerajaan Mesir dilihat menerima baik Hamas sebagai rakannya selepas Ketua Hamas pada tahun 2017, Khaled Meshaal berkata bahawa pergerakan itu tidak lagi akan menjadi sekutu Ikhwanul Muslimin.

Kumpulan Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan pada tahun 1920an itu sebelum ini menjalar dalam pertubuhan politik dan kerja-kerja kebajikan di Mesir tetapi kemudian dilabelkan sebagai sebuah pertubuhan pengganas oleh Mesir.

Dalam pada itu, Israel pula dilaporkan berasa bimbang dengan kemasukan simen, bahan-bahan binaan dan minyak melalui Lintasan Rafah di Gaza itu tanpa dilakukan pemantauan kerana ia mungkin akan membolehkan Hamas membina semula kekuatan ketenteraannya. - Agensi