Hina agama: Kerajaan jangan beri muka!

Nur Faizal
Nur Faizal
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dewan Muda Johor (DMJ) mendesak kerajaan untuk tidak lagi memberi muka kepada mana-mana individu di negara ini yang sengaja mencetuskan provokasi dan menghina agama Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Sukan dan Keagamaan DMJ, Nur Faizal Kasri berkata, ia berikutan kebimbangan pihaknya apabila melihat perbuatan itu semakin terang-terangan dan agresif berlaku di media sosial.

“Dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Negara ada menyebut bahawa Islam adalah agama persekutuan, Ini bermakna Islam diletakkan pada kedudukan tertinggi dalam Perlembagaan Malaysia yang mengatasi agama-agama lain.

“Sungguhpun begitu, akhir-akhir ini Islam dilihat menjadi sasaran penghinaan oleh mereka yang terdiri daripada golongan liberal (sama ada Muslim dan bukan Muslim) dan penganut agama lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Faizal berkata, mengambil tindakan atas penghina agama bukan menunjukkan tiada kebebasan bersuara, akan tetapi ia bertujuan untuk mendidik mereka bahawa negara ini ada perlembagaan dan Rukun Negara yang perlu dipertahankan.

“Jika tiada tindakan tegas diambil atau masih dibiarkan ia dikhuatiri mampu mengguriskan hati umat Islam di negara ini yang mana ia merupakan agama majoriti iaitu sebanyak 61.3%.

“Selain Perkara 3(1) yang disebutkan dalam Perlembagaan Malaysia, Rukun Negara Kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan juga perlu diberi penekanan sekali gus perlu dihidupkan nilai-nilainya dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Jelasnya, perkara itu bukan semata-mata ditulis di belakang buku dan dibaca di perhimpunan sekolah tetapi perlu dihayati kenapa Rukun Negara dirangka sedemikian.

Artikel Berkaitan: