Akauntan rugi RM104,000 terpedaya peraduan menang wang

Seorang akauntan berputih mata apabila mengalami kerugian RM104,000 selepas terpedaya dengan peraduan menang wang yang didakwa daripada sebuah platform beli-belah. Gambar hiasan. - Foto 123RF
Seorang akauntan berputih mata apabila mengalami kerugian RM104,000 selepas terpedaya dengan peraduan menang wang yang didakwa daripada sebuah platform beli-belah. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SEREMBAN - Seorang akauntan berputih mata apabila mengalami kerugian RM104,000 selepas terpedaya dengan peraduan menang wang yang didakwa daripada sebuah platform beli-belah dalam talian pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, wanita berusia 39 tahun itu menerima mesej menerusi akaun Facebook bernama 'Irene Wee” yang memaklumkan mangsa telah memenangi wang daripada sebuah platform e-dagang kira-kira jam 2 petang

Katanya, suspek kemudian memberi nombor telefonnya iaitu 019-9109136 kepada mangsa memaklumkan bahawa wanita itu telah memenangi wang sebanyak RM3,573 (SG$1,150).

"Suspek turut meminta nombor kad kredit mangsa dan butiran kad bagi urusan penerimaan wang tersebut dan mangsa telah memberi nombor serta butiran kad kredit HSBC dan Standard Chartered miiknya.

"Mangsa diarahkan untuk menghantar mesej OTP kepada suspek. Kemudian mangsa mendapati ada transaksi sebanyak RM7,000 melalui kad kredit HSBC miliknya bagi urusan pembelian di Shopee," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Aibee berkata, suspek telah melakukan beberapa transaksi pembelian di Shopee menggunakan kad kredit milik mangsa sehingga mencapai RM70,000 bagi akaun HSBC dan RM34,000 menerusi akaun Standard Chartered.

"Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila dia gagal menghubungi suspek kira-kira jam 10.36 pagi tadi dan susulan itu mangsa terus menghubungi pihak bank sebelum membuat laporan di Balai Polis Rahang, " katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak bank memaklumkan kesemua transaksi tersebut masih ‘terapung’ dan tidak dapat mengeluarkan penyata bagi transaksi tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua transaksi tersebut bagi urusan Shopee dan jumlah kerugian sebenar tidak dapat dipastikan kerana kesemua transaksi masih ‘terapung’.Terdapat transaksi yang tidak berjaya kerana melebihi had transaksi harian mangsa," katanya.

Aibee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu selain meminta orang ramai agar tidak mudah percaya dengan panggilan atau mesej yang mencurigakan. - Bernama