Hentikan penyebaran video babit pemilik akaun IG 'safieyillias94'

Zuraida
Zuraida
A
A
A

SHAH ALAM – Semua pihak digesa menghentikan penyebaran video membabitkan pemilik akaun Instagram 'safieyillias94' bersama individu lain yang didakwa berkomunikasi secara lucah dan melakukan perbuatan amang seksual terhadap kanak-kanak bawah umur.

Pengasas Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, gesaan itu dibuat bagi mengelak ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat awam dan dikhuatiri menyumbang kepada masalah sosial dalam kalangan kanak-kanak.

“Sebagai ibu bapa, pantaulah aktiviti harian anak-anak kita agar tidak terjebak dalam perkara ini lagi.

“Apatah lagi pada ketika ini gajet seperti telefon bimbit merupakan medium perhubungan dan alat komunikasi asas penting buat mereka khususnya ketika pembelajaran dalam talian,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis tahan pemilik akaun IG 'safieyillias94'

Satu rakaman video tular di laman Facebook dan Twitter memaparkan tindakan seorang usahawan kosmetik bersama rakannya bersiaran langsung menerusi platform Instagram Live yang turut disertai oleh dua kanak-kanak lelaki dipercayai berusia 14 dan 15 tahun.

Polis mengesahkan pemilik akaun Instagram (IG) ‘safieyillias94’ ditahan di sekitar daerah Kajang pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Usahawan kosmetik, rakan direman tiga hari

Artikel Berkaitan:

Dia ditahan bagi membantu siasatan berhubung Video Live membuat komunikasi lucah dan amang seksual dengan kanak-kanak di bawah umur.

Mengulas lanjut, Zuraida yang merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, tindakan harus diambil ke atas individu berkenaan kerana perkara itu bukan sahaja salah di sisi moral masyarakat.

“Bahkan salah di sisi undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah terhadap kanak-kanak,” tegasnya.

Zuraida dalam masa sama turut menyeru kepada semua influencer atau pengguna media sosial yang berpengaruh supaya memanfaatkan medium tersebut dengan sebaik mungkin terutamanya ketika Malaysia dan dunia menghadapi pandemik Covid-19.

“Semua pihak seharusnya saling menyebar luas perkongsian maklumat yang bermanfaat,” katanya.