X

Kindly register in order to view this article
!

Perokok dijangkiti Covid-19 alami kesan dua kali ganda teruk

Dinnie Asyraf (kiri) bertanyakan soalan kepada Dr Noraryana di Sinar Live bertajuk “JomQuit: Baik ‘Quit’ Sebelum Kena Covid” yang disiarkan menerusi semua platform Sinar Harian pada Jumaat.
A
A

SHAH ALAM – Perokok yang dijangkiti Covid-19 akan mengalami kesan dua kali ganda lebih teruk dari segi kesihatan berbanding individu yang tidak merokok.

Ketua Sektor Kawalan Tembakau dan Urusetia FCTC, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Noraryana Hassan berkata, perkara itu berdasarkan analisa dapatan diperoleh pihaknya daripada 5,880 pesakit Covid-19 yang telah dimasukkan ke hospital di seluruh negara bermula 1 Februari sehingga 31 Mei pada tahun lalu.

“Kesan dua kali ganda itu melibatkan tiga komplikasi utama iaitu serangan paru-paru, boleh mendapat kegagalan hati dan kegagalan buah pinggang.

“Jadi, itu antara dapatan yang patut dikongsikan kepada semua bahawa merokok tidak ada faedahnya dan menyebabkan komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis di Sinar Live bertajuk 'JomQuit: Baik ‘Quit’ Sebelum Kena Covid' dihoskan oleh Dinnie Asyraf Salim yang disiarkan menerusi semua platform Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Noraryana berkata, analisa itu juga dilakukan dengan kerjasama Institut Kesihatan Umum (IKU), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam pada itu, Noraryana berkata, kadar peratusan penurunan mereka yang berhenti merokok bermula 20 tahun lalu sehingga sekarang di negara ini juga tidak terlalu besar jika dibandingkan dengan negara barat.

“Kalau dilihat 20 tahun lalu, peratusan kita (individu merokok) lebih kurang 24 peratus dan (menurun masa kini) lebih kurang 20 peratus di mana penurunan itu tidak terlalu besar.

"Berbanding di negara barat seperti United Kingdom, New Zealand dan Australia pada 20 tahun lalu yang peratusan perokoknya hampir sama dengan negara ini telah menurun dengan banyak sehingga 11 peratus.

“Jadi ini adalah satu perkara yang kita perlu kaji semula kenapa perokok di negara kita ini peratusan penurunannya hanya sedikit,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai budaya merokok di Malaysia, Noraryana berkata, ia telah menjadi semakin baik jika dibandingkan pada masa dahulu.

“Semakin baik itu bermaksud ramai golongan perokok ini sebenarnya dia tidak mahu menunjukkan dia merokok.

“Saya percaya golongan perokok di luar sana percaya dengan saya kalau dia nak merokok dia malu-malu untuk merokok di kawasan larangan, di kawasan ada anak-anak, ataupun ada ibu mengandung dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, perokok juga sudah bersembunyi untuk menghisap rokok dan hanya merokok di tempat tertentu sahaja.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!