Premis kitar semula punca tumpahan bahan kimia diserbu

Tong drum yang dikumpulkan di sekitar premis haram itu.
Tong drum yang dikumpulkan di sekitar premis haram itu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Sebuah premis di Taman Kota Masai di sini diserbu pihak berkuasa kerana disyaki menjalankan aktiviti jual beli kitar semula tanpa lesen sah sehingga menyebabkan pencemaran bahan kimia.

Serbuan itu dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Pasir Gudang bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Gudang, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Khamis.

JAS dalam satu kenyataan berkata, serbuan itu dilakukan susulan aduan orang awam berhubung tumpahan bahan kimia yang memasuki longkang awam di Taman Kota Masai.

"Siasatan mendapati pencemaran berpunca daripada tumpahan sisa 'glycerin pitch' daripada beberapa buah tong dram yang dikumpulkan di luar premis haram tersebut.

"'Glycerin pitch' adalah sisa yang terhasil daripada proses penyulingan Crude Glycerin, bahan berasaskan minyak sawit.

"Pemeriksaan lanjut di premis tersebut telah menemui sejumlah 796 'bunghole' dram yang mengandungi 'glycerin pitch' diletakkan di merata tempat tanpa kawasan penstoran khas," kata kenyataan itu pada Jumaat.

JAS berkata, premis haram tersebut dikatakan membeli 'glycerin pitch' daripada sebuah kilang berasaskan oleokimia di kawasan perindustrian Pasir Gudang.

Katanya, tindakan pantas JAS Johor dan semua pihak berkuasa yang terlibat telah berjaya mengelakkan tumpahan sisa 'glycerin pitch' terus mengalir melalui longkang dan akhirnya ke Sungai Kim Kim.

Artikel Berkaitan:

"Susulan itu, JAS Johor telah mengeluarkan dua kompaun di bawah kesalahan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 untuk pihak kilang mengambil tindakan pembetulan dan langkah-langkah kawalan sewajarnya.

"Selain itu, pihak MBPG juga telah mengeluarkan notis menghentikan dan tidak menjalankan perniagaan ke atas premis tersebut dan kompaun di bawah Seksyen 70(a) Akta Kerajaan Tempatan 1975 kerana premis telah beroperasi tanpa lesen perniagaan," katanya.