Tiga kluster baharu libatkan tempat kerja dikesan di Sarawak

Tiga daripada empat kluster baharu yang diisytihar oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada Jumaat melibatkan jangkitan di tempat kerja. - Gambar hiasan
Tiga daripada empat kluster baharu yang diisytihar oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada Jumaat melibatkan jangkitan di tempat kerja. - Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Tiga daripada empat kluster baharu yang diisytihar oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada Jumaat melibatkan jangkitan di tempat kerja, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

JPBN dalam kenyataan memaklumkan ketiga-tiga kluster tempat kerja dikesan dalam Daerah Tatau di Bahagian Bintulu iaitu Kluster Pekan Tatau Baru, Kluster Sungai Kakus dan Kluster Semanok manakala satu lagi ialah Kluster Kampung Kolong 2 di Daerah Kuching yang melibatkan pergerakan semasa Aidilfitri bulan lepas.

Menurut kenyataan itu, Kluster Pekan Tatau Baru melibatkan pergerakan sosial dan kontak rapat pekerja sebuah kilang papan lapis di Pekan Tatau serta sebuah rumah panjang di Nanga Tekalit dalam daerah sama.

“Sejumlah 742 individu telah disaring dengan 27 kes dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, 502 kes didapati negatif dan 213 kes masih menunggu keputusan makmal. Kedua-dua lokaliti yang terlibat juga telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” menurut kenyataan itu.

Kluster Sungai Kakus pula berpunca daripada tempat kerja yang melibatkan penempatan sementara ladang kelapa sawit di Kem Gabung dan sebuah rumah panjang di Nanga Tekalit di kawasan Sungai Kakus.

Sejumlah 117 individu telah disaring dengan 51 didapati positif Covid-19 termasuk kes indeks manakala 14 didapati negatif dan 52 masih menunggu keputusan makmal.

Kluster Semanok pula berpunca daripada pergerakan sosial dan kontak rapat dalam kalangan pekerja sebuah ladang kelapa sawit dengan sejumlah 196 individu telah disaring.

“Tujuh kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, 17 kes didapati negatif dan 172 masih menunggu keputusan makmal. Kawasan ladang kelapa sawit terlibat telah diletakkan di bawah PKPD,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu menyebut Kluster Kampung Kolong 2 berpunca daripada pergerakan sosial dan aktiviti ziarah semasa Aidilfitri yang menyaksikan perebakan jangkitan telah mencapai generasi keempat.

“Sejumlah 52 individu telah disaring dengan 36 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks dan 16 didapati negatif,” katanya.

Sarawak pada Jumaat mencatatkan 699 kes baharu Covid-19 dengan sejumlah 427 daripadanya dikesan di Daerah Kuching, Sibu, Bintulu dan Tatau manakala lapan kematian baharu akibat jangkitan wabak itu dilaporkan. -Bernama