X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada campur tangan politik dalam prosiding kebankrapan Najib: LHDN

Najib Tun Razak
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat diberitahu bahawa tiada campur tangan politik dalam prosiding kebankrapan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam Kanan Hasil, Norhisham Ahmad berkata, LHDN melayan kes Najib sama seperti kes pembayar cukai lain dan adalah menjadi tanggungjawab agensi itu untuk mengutip cukai daripada pembayar.

"Tiada campur tangan politik. Kami menanti sejak Julai 2020 untuk Najib datang dan berbincang mengenai kaedah pembayaran selepas penghakiman terus dikeluarkan namun beliau tidak berbuat demikian.

"Rakyat akan mempertikai mengapa kami tidak melaksanakan perintah itu," katanya sambil menambah LHDN perlu melaksanakan perintah itu selepas ia dikeluarkan oleh mahkamah.

Beliau berkata demikian semasa berhujah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache menerusi aplikasi Zoom pada pendengaran permohonan Najib untuk menggantung pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap bekas Perdana Menteri itu berhubung pembayaran cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula berhujah Najib akan kehilangan segalanya jika notis kebankrapan yang difailkan terhadap beliau dibenarkan.

"Beliau akan kehilangan pencen, kedudukan dalam politik dan hartanya juga mungkin dilelong," katanya sambil menambah Najib akan hilang semua yang dibinanya sejak 1976.

Muhammad Shafee juga berkata, mereka telah cuba berunding dengan LHDN berhubung pembayaran RM1.69 bilion namun rundingan itu telah dihentikan dan LHDN meneruskan tindakan dengan memfailkan notis kebankrapan terhadap Najib.

Mahkamah menetapkan Isnin ini untuk memutuskan permohonan itu menerusi e-mel.

Pada 22 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan yang menetapkan 16 Jun untuk mendengar rayuannya.

Mengikut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun rayuan difailkan

Pada 4 Februari lepas, kerajaan melalui LHDN telah memfailkan notis kebankrapan terhadap Najib atas kegagalan beliau membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada Julai tahun lepas.

Menurut notis itu, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan kadar faedah lima peratus setahun bermula 22 Julai 2020 (tarikh penghakiman Mahkamah Tinggi) hingga 4 Feb 2021 yang berjumlah RM1,738,804,204.16. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!