X

Kindly register in order to view this article
!

PPV MIECC mula beroperasi Isnin depan

PPV Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) akan mula beroperasi Isnin depan. - Gambar hiasan
A
A

PUTRAJAYA - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega, Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) akan mula beroperasi Isnin depan.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam kenyataannya berkata, penjadualan jumlah janji temu hari pertama di PPV MIECC dihadkan kepada 4,900 daripada kapasiti penuh iaitu 8,000.

"Jumlah ini akan ditambah secara berperingkat dalam masa terdekat manakala janji temu di PPV MIECC sedang dikeluarkan yang bermula dari jam 9 pagi sehingga 8 malam.

"Orang ramai diminta untuk menyemak aplikasi MySejahtera mereka bagi mendapatkan butiran janji temu vaksinasi Covid-19 masing-masing," katanya pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, mereka yang diberi janji temu dinasihatkan untuk hadir tidak terlalu awal, sebaliknya tiba di MIECC 30 minit sebelum waktu janji temu bagi mengelakkan kesesakan.

PPV MIECC adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkasakan kadar vaksinasi dengan pembukaan enam PPV berkapasiti besar seperti Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Axiata Arena, Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) dan UiTM Puncak Alam.

Secara keseluruhannya, seramai 30,000 orang boleh divaksinasi setiap hari melalui tujuh PPV ini.

ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) iaitu syarikat tidak berasaskan keuntungan milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menguruskan PPV MIECC.

"Pembukaan MIECC adalah sejajar dengan komitmen kerajaan dalam memastikan kadar vaksinasi terus dikekalkan secara konsisten bagi mempercepatkan program vaksinasi negara untuk membendung penularan wabak Covid-19," katanya.

Setakat ini, kadar vaksinasi negara telah mencecah paras 150,000 dos sehari dan kerajaan menyasarkan untuk terus mempertingkan usaha vaksinasi bagi mencapai jumlah suntikan 200,000 dos sehari dalam masa terdekat.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!