Landasan 1 di KLIA pulih sepenuhnya: MAHB

Landasan pertama di KLIA telah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk menyokong pemulihan operasi penerbangan.Gambar hiasan. - Foto 123RF
Landasan pertama di KLIA telah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk menyokong pemulihan operasi penerbangan.Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SEPANG - Landasan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk menyokong pemulihan operasi penerbangan, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

MAHB dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, landasan itu lulus dalam pemeriksaan audit dan kalibrasi dilakukan baru-baru ini oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Langkah kerja-kerja pemulihan itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Kemampanan Landasan KLIA yang mengandungi kerangka penuh untuk keselamatan operasi penerbangan yang berterusan di lapangan terbang tersebut.

"Siap dalam tempoh enam bulan mengikut jadual, langkahl-langkah kerja pemulihan itu terdiri daripada kerja-kerja penyelenggaraan komprehensif yang selesai tepat pada masanya seiring dengan pemulihanan perjalanan udara kerana imuniti kelompok bagi mencegah jangkitan Covid-19 sudah dapat dicapai apabila negara-negara di seluruh dunia mempercepatkan program vaksinasi dan inisiatif,” katanya.

Selain itu, landasan KLIA ketiga telah menjalani langkah pemulihan yang sama tahun lepas ketika MAHB meneruskan pelaburannya yang kritikal walaupun menjalankan langkah pencegahan yang agresif untuk memastikan kesediaan lapangan terbang dan memulihkan keyakinan penumpang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Datuk Mohd Shukrie Salleh berkata, kumpulan itu kekal komited untuk menyediakan kemudahan terbaik bagi pengalaman perjalanan terbaik melalui lapangan terbangnya dan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan operasi lapangan terbang.

"Ketika ini sebanyak 51 syarikat penerbangan terdiri daripada 41 penumpang komersial dan 10 syarikat penerbangan kargo beroperasi di KLIA, ia menyumbang peningkatan sebanyak 77.4 peratus tahun ke tahun dalam pergerakan penerbangan bulan lalu," katanya.

Beliau berkata pergerakan penumpang juga meningkat sebanyak 88.2 peratus tahun ke tahun bulan lepas, mencatatkan sebanyak 166,000 penumpang.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shukrie berkata, kenaikan pergerakan penerbangan menekankan betapa pentingnya meningkatkan penawaran MAHB terutama selepas pengumuman baru-baru ini mengenai kemungkinan membenarkan mereka yang telah diberi vaksin sepenuhnya untuk melakukan perjalanan rentas negeri atau ke luar negara. - Bernama