X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Dua pekerja taska ditahan kes dera kanak-kanak

Arjunaidi
A
A

SHAH ALAM - Dua pekerja wanita sebuah taska di sebuah hospital di Selangor ditahan selepas dipercayai mendera dua kanak-kanak pada Rabu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, penahanan kedua-dua suspek berusia 23 dan 26 tahun itu dibuat kira-kira jam 3 petang selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Menurutnya, satu laporan polis telah diterima pihaknya pada hari yang sama berhubung kes tersebut daripada seorang wanita yang juga ibu kepada kanak-kanak berusia setahun lapan bulan.

"Kanak-kanak itu mengalami luka di bahagian pipi dan lebam di beberapa anggota badan.

"Hasil siasatan lanjut mendapati terdapat seorang lagi kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan di taska terbabit dan dipercayai telah dipukul di bahagian kaki serta kepala dengan menggunakan bantal," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan polis turut merampas sebiji bantal bagi tujuan membantu siasatan.

"Kedua-dua suspek telah dilepaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan hampir siap sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!