PKPD: Harap bantuan makanan diagih kepada penduduk memerlukan

Walaupun pelaksanaan PKPD bermula pada Jumaat, namun penduduk dari awal lagi tidak keluar rumah dan patuh pada arahan yang ditetapkan.
Walaupun pelaksanaan PKPD bermula pada Jumaat, namun penduduk dari awal lagi tidak keluar rumah dan patuh pada arahan yang ditetapkan.
A
A
A

TUMPAT - Penduduk di dua lokaliti di Tumpat iaitu Kampung Kutan Tengah dan Kampung Ketil berharap bantuan makanan dapat diagihkan sebaik mungkin kepada masyarakat yang terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Jumaat.

Walaupun penduduk telah membeli keperluan makanan masing-masing sebagai persediaan PKPD tersebut, namun ia tidak mampu bertahan bagi jangka masa yang lama.

Wakil penduduk, Wan Ab Malek Wan Mamat, 51, memberitahu, sejak mendapat tahu akan dikenakan PKPD, dia telah membuat persiapan awal dengan membeli barangan dapur dan keperluan harian yang lain.

"Kami tidak sangka perlu merasa PKPD ini, namun saya anggap ini sebagai ujian memandangkan wabak ini sesuatu yang tidak boleh dijangka," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Mengulas lanjut, Wan Ab Malek juga memberitahu, dia telah mendapatkan maklumat daripada agensi yang terlibat mengenai sumbangan makanan dan sebagainya memandangkan kawasan berkenaan kebanyakannya didiami penduduk yang kurang berkemampuan.

Malah katanya, dia juga turut membantu sesetengah penduduk yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap dengan berkongsi makanan yang ada bagi meringankan bebanan mereka.

Sinar Harian pada 9 Jun lalu melaporkan 10 lagi kawasan di Johor, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan berkuatkuasa pada 11 Jun sehingga 24 Jun.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, antara lokaliti tersebut adalah Felda Inas, Kulai, Johor; Kampung Kutan Tengah dan Kampung Ketil, Tumpat, Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung berkenaan, Wan Ramlah Wan Harun, 50, ketika dihubungi turut memaklumkan perkara yang sama dan berharap sumbangan yang diberikan mana-mana pihak akan lebih tersasar kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, dengan pelaksanaan PKPD tersebut, mereka terpaksa berkurung buat sementara waktu bagi mematuhi peraturan yang telah ditetapkan kerajaan dalam mengawal penularan wabak Covid-19

"Dari semalam lagi semuanya senyap, lengang, sunyi sahaja dan saya berharap keadaan ini akan berterusan bagi meredakan penularan Covid-19 di kawasan ini.

"Ambillah ia sebagai satu pedoman supaya kita sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan memandangkan Covid-19 bukan sesuatu yang boleh dijangka," katanya.