PKPD: 3 SJR Kampung Tajin bermula tengah malam ini

Mohd Adli (kiri) berkata sesuatu kepada anggota polis yang melakukan persiapan sekatan jalan raya susulan pelaksanaan PKPD di Kampung Tajin bermula 12 hingga 25 Jun nanti.
Mohd Adli (kiri) berkata sesuatu kepada anggota polis yang melakukan persiapan sekatan jalan raya susulan pelaksanaan PKPD di Kampung Tajin bermula 12 hingga 25 Jun nanti.
A
A
A

HULU TERENGGANU – Polis akan mengadakan tiga sekatan jalan raya (SJR) di laluan masuk ke Kampung Tajin, Kuala Berang, di sini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu bermula Sabtu.

Tiga lokasi SJR itu adalah di Jalan Gaung-Kuala Berang hadapan Surau Hijau Kampung Telaga, Jalan Gaung-Kuala Ping di Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu dan Jalan Kuala Berang -Kuala Ping, berhadapan gelanggang futsal Kampung Kuala Akob.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, sekatan itu melibatkan kekuatan 70 anggota polis dengan bantuan agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Dengan pelaksanaan PKPD, kita tidak benarkan orang ramai keluar masuk ke kawasan ini kecuali urusan kesihatan, pengambilan suntikan vaksin atau sebab tertentu,” katanya ketika meninjau persiapan SJR yang akan bermula jam 12 malam ini.

Hadir sama Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh.

Kampung Tajin yang terletak kira-kira 8.9 kilometer dari bandar Kuala Berang mempunyai 1,403 penduduk dengan jumlah rumah sekitar 270 buah.

Menurut Mohd Adli, Kampung Tajin terletak di laluan utama Kuala Berang ke Sungai Tong dan sepanjang PKPD ini, orang awam boleh gunakan laluan alternatif.

“Jalan alternatif boleh digunakan penduduk di daerah ini terutamanya untuk ke Bandar Kuala Berang ialah masuk melalui persimpangan Kampung Kuala Ping atau Kepah dan keluar ke Kuala Pueh menuju ke Kampung Gaung.

Artikel Berkaitan:

"Bagi penduduk kampung di laluan Tajin - Kampung Imam Lapar, mereka boleh melalui jalan di Kampung Tajin untuk ke bandar Kuala Berang bagi dapatkan barangan keperluan namun perlu daftarkan diri di SJR dan kemukakan bukti tujuan," ujarnya.

Pada Khamis, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Kampung Tajin, Kuala Berang bermula 12 hingga 25 Jun bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Keputusan itu dibuat susulan penilaian risiko pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Sehingga kini, seramai 502 individu di kawasan itu telah disaring dan daripada jumlah itu 31 orang dilaporkan positif Covid-19 pada kadar positiviti direkodkan adalah 6.17 peratus.