PKPD di beberapa lokaliti di Kedah, Sabah

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di beberapa lokaliti di Kedah dan Sabah bermula Ahad sehingga 26 Jun ini.
Kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di beberapa lokaliti di Kedah dan Sabah bermula Ahad sehingga 26 Jun ini.
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Kedah dan Sabah bermula Ahad sehingga 26 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Kedah membabitkan Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

“Dalam tempoh seminggu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes apabila sebanyak 18 kes positif dilaporkan hasil saringan ke atas 208 penghuni universiti tersebut.

“KKM juga mendapati, berlaku penularan kes dalam kalangan pelajar dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ismail berkata, di Sabah pula PKPD membabitkan Kampung Kadazan, Tawau dan dua perkampungan dalam daerah Kota Kinabalu iaitu Kampung Lobou 1 serta Kampung Bukit Permai manakala Taman Villa Felca Nambazan di Penampang.

“Pelaksanaan PKPD ini memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penduduk yang terlibat dan untuk mengekang penularan Covid-19 ke komuniti luar,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKPD di beberapa lokaliti di Terengganu, Selangor, Sarawak, Johor dan Sabah pada Sabtu.

Katanya, di Terengganu, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di 19 daripada 21 mukim dalam daerah Kuala Terengganu manakala dua mukim lagi iaitu Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada dilanjutkan PKPD bermula Ahad sehingga 26 Jun.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penamatan PKPD di Selangor pula membabitkan tiga taman perumahan dalam daerah Sabak Bernam iaitu Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima.

"Penamatan PKPD di Sarawak pula membabitkan empat Rumah Panjang di Ulu Sungai Sebakong iaitu Rumah Panjang Rimong anak Kilat, Rumah Panjang Asin anak Aji, Rumah Panjang Bija anak Unggang dan Rumah Panjang Undum anak Anchih di Sungai Duan.

"Di Johor pula, penamatan PKPD membabitkan Taman Sinar Harapan, Tampoi dan di Sabah membabitkan tiga lokaliti di Tawau iaitu Kampung Pasir Putih Blok B, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Balung dan Kampung Baru Pasir Putih,” katanya.

Mengulas mengenai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), Ismail Sabri berkata, seramai 828 individu ditahan pada Khamis dengan 759 daripada mereka dikompaun, 68 direman manakala seorang lagi dijamin.