Filipina bebas polio

Seorang kanak-kanak perempuan diberikan vaksin polio semasa program imunisasi di Manila pada 2019. - AFP
Seorang kanak-kanak perempuan diberikan vaksin polio semasa program imunisasi di Manila pada 2019. - AFP
A
A
A

MANILA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Jumaat mengesahkan Filipina menamatkan wabak polio yang dikesan di negara itu hampir dua tahun lalu.

Dalam satu kenyataan bersama, WHO dan UNICEF berkata, Jabatan Kesihatan Filipina (DOH) menghentikan sepenuhnya tindak balas polio pada 3 Jun lalu.

Langkah itu diambil selepas penyakit berkenaan tidak dikesan dalam kalangan kanak-kanak atau lingkungan persekitarannya dalam tempoh 16 bulan terakhir.

"Ini adalah hasil tindak balas wabak yang komprehensif termasuk aktiviti imunisasi yang dipergiatkan di daerah yang terjejas di seluruh negara," menurut wakil WHO di Filipina, Dr Rabindra Abeyasinghe.

Difahamkan, sepanjang penularan wabak, Filipina mencatatkan 17 kes polio namun tiada kematian direkodkan.

Kes pertama polio berlaku di wilayah Mindanao dan virus itu dikesan dalam sistem kumbahan.

Sementara itu, kes kedua direkodkan di Laguna, selatan Manila yang terletak kira-kira 1,000 kilometer (km) dari Mindanao.

Setakat ini, 16 negara di seluruh dunia berdepan wabak ini kerana pandemik Covid-19 memaksa banyak kempen pemberian vaksin dihentikan.

Artikel Berkaitan:

Menurut WHO, penyakit ini masih endemik di tiga negara iaitu Nigeria, Afghanistan dan Pakistan. - Agensi