Polis tahan lelaki, rampas ganja bernilai RM2,500

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah dipercayai jenis ganja seberat 1,158 gram bernilai RM2,500 di Taman Dixon Jalan Lintas, dekat sini Rabu lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, dadah itu ditemui dalam kereta milik suspek berusia 40-an itu semasa pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah menjalankan operasi di kawasan berkenaan kira-kira pukul 3.40 pagi.

“Ketika operasi berkenaan, pasukan JSJN telah terserempak dengan seorang lelaki yang sedang berdiri di sebelah pintu bahagian pemandu kereta yang dipakirkan di kawasan itu.

“Apabila diperiksa mendapati terdapat satu beg berwarna hitam yang mengandungi dua ketulan besar berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat 214 gram,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap suspek kemudiannya telah membawa satu lagi serbuan ke rumahnya di Taman Cantek, Kota Kinabalu.

“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan telah menjumpai satu bagasi berwarna hitam yang mengandungi lapan paket plastik besar masing-masing berisi lima lagi peket plastik kecil yangi disyaki dadah jenis ganja seberat 944 gram,” katanya.

Zaini berkata kini suspek berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula Rabu lepas dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, beliau berkata sejak 1 Jan hingga semalam polis Sabah telah menahan 2,299 orang atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Artikel Berkaitan:

“Daripada jumlah itu seramai 168 adalah pengedar dadah,” katanya. - Bernama