X

Kindly register in order to view this article
!

1,760 dos Sinovac tiba di empat PPV pedalaman Miri

Sejumlah 1,760 dos vaksin Covid-19 jenis Sinovac selamat mendarat di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan pedalaman Miri.
A
A

KUCHING - Sejumlah 1,760 dos vaksin Covid-19 jenis Sinovac selamat mendarat di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan pedalaman Miri hari ini menerusi penerbangan ihsan pesawat AW139 (9M BOD) milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, vaksin itu tiba di PPV Klinik Kesihatan (KK) Bario, KK Mulu, KK Long San dan KK Long Bedian pada 10.50 pagi hingga 1.15 tengah hari tadi.

Beliau yang meninjau persiapan penerbangan penghantaran vaksin itu memberitahu, setiap klinik di kawasan pedalaman yang menerima bekalan vaksin akan dilengkapi bekalan elektrik stabil dan peti sejuk jenis top loading untuk penyimpanan vaksin.

“Penerbangan seterusnya untuk bekalan vaksin ini akan dilakukan secara berperingkat dan berterusan ke kawasan pedalaman Miri mengikut jadual yang disediakan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri bersama pihak bomba,” kata Lee merangkap Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dalam kenyataan dikeluarkan jawatankuasa itu pada Jumaat.

Semalam, Bahagian Miri menerima bekalan vaksin Sinovac dari Kuala Lumpur menerusi penerbangan khas pesawat Malaysia Airlines yang tiba pada jam 11.15 pagi.

Pengedaran vaksin ke PPV dilakukan menggunakan jalan darat dengan diiringi polis.

Menurut Lee, aktiviti pemberian suntikan vaksin di kawasan pedalaman Miri akan bermula esok.

Sehubungan itu, JPBB Miri telah meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pegawai Daerah di kawasan terbabit menghubungi penduduk kampung supaya hadir untuk menerima vaksinasi mengikut jadual ditetapkan.

“Kepada penduduk yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin, mereka boleh mendaftar di lokasi pemberian vaksin berkenaan kerana di kawasan luar bandar, pendaftaran boleh dilakukan secara manual dan tidak bergantung sepenuhnya dengan aplikasi MySejahtera,” katanya.

Selain bomba, perkhidmatan penerbangan tempatan Hornbill Skyways akan turut membantu proses penghantaran vaksin menggunakan helikopter ke 23 lagi KK di kawasan pedalaman di Miri. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!