Bursa Malaysia ditutup rendah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BURSA Malaysia ditutup rendah pada Jumaat bagi hari ketiga berturut-turut terjejas oleh tekanan jualan dalam kaunter saham mewah seperti Sime Darby, KL Kepong dan Hap Seng.

Pada penutup dagangan, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.74 mata kepada 1,575.16 daripada paras penutup 1,579.90 pada Khamis.

Indeks itu dibuka tinggi naik 3.37 mata kepada 1,583.27 hari ini dan bergerak antara paras 1,571.58 dan 1,584.09 sepanjang hari dagangan.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 531 berbanding 443, manakala 476 kaunter tidak berubah, 711 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.33 bilion unit bernilai RM2.97 bilion daripada 4.91 bilion unit bernilai RM2.74 bilion pada Khamis.

Sepanjang hari dagangan,18 daripada saham komponen FBM KLCI ditutup rendah manakala 10 kaunter mencatatkan kenaikan.

Seorang penganalisis berkata sentimen menjadi negatif berikutan peningkatan jangkitan COVID-19 di negara ini dengan 6,849 kes baharu hari ini.

“Para pelabur memilih untuk kekal tidak memasuki pasaran menjelang hujung minggu sementara menunggu pengumuman kerajaan sama ada sekatan pergerakan akan disambung atau melaksanakan usaha lebih bersepadu untuk membendung peningkatan kes COVID-19 di dalam negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd berkata, FBM KLCI ditutup rendah 0.3 peratus dengan kaunter Supermax menerajui penurunan apabila susut sebanyak 2.9 peratus pada Jumaat menyeret turun indeks penjagaan kesihatan Bursa Malaysia sebanyak 0.8 peratus.

“FBM KLCI diunjur diniagakan dalam jajaran 1,570 hingga 1,600 mata minggu depan apabila para pelabur dijangka menumpukan kepada jumlah dos vaksinasi yang diberikan setiap hari di negara ini,” katanya.

Setakat 10 Jun, jumlah suntikan yang diberi melebihi 150,000 bagi tiga hari berturut-turut.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.18, Public Bank naik satu sen kepada RM4.21, PetChem susut satu sen kepada RM8.08 dan Press Metal jatuh tujuh sen kepada RM5.06.

Kaunter rugi utama diterajui C.I Holdings yang jatuh 28 sen kepada RM3.42, KL Kepong berkurangan 26 sen kepada RM21.54 dan Pecca Group susut 20 sen kepada RM4.41.

Dalam kalangan kaunter cergas, Dagang Nexchange meningkat setengah sen kepada 86 sen susulan berita Hon Hai Precision Industry Co Ltd membeli pegangan besar dalam syarikat tersebut, manakala Avillion naik enam sen kepada 17 sen dan Serba Dinamik turun 3.5 sen kepada 60.5 sen.

Dalam kalangan kaunter untung, MPI meningkat RM1.80 kepada RM39.30, Nestle melonjak RM1 kepada RM135.80 dan Transocean naik 63 sen kepada RM4.87.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 21.93 mata kepada 11,503.19, Indeks FBMT 100 susut 23.30 mata kepada 11,187.16 dan FBM ACE berkurangan 11.04 mata kepada 7,643.07.

Indeks FBM Emas Shariah jatuh 32.66 mata kepada 12,636.33 tetapi FBM 70 mengukuh 9.17 mata kepada 14,934.43.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 18.53 mata kepada 15,252.78, manakala Indeks Produk dan Pekhidmatan Perindustrian turun 0.31 mata kepada 192.33 dan Indeks Perladangan jatuh 63.91 mata kepada 6,7699.49.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 4.08 bilion saham bernilai RM2.61 bilion daripada 2.85 bilion saham bernilai RM2.21 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran turun kepada 228.33 juta unit bernilai RM27.47 juta daripada 231.20 juta unit bernilai RM35.05 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 1.02 bilion saham bernilai RM328.62 juta berbanding 1.83 bilion saham bernilai RM490.18 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 925.86 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (839.34 juta), pembinaan (321.47 juta), teknologi (820.92 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (49.14 juta), hartanah (319.22 juta), perladangan (27.16 juta), REIT (6.38 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (468.87 juta), penjagaan kesihatan (55.12 juta), telekomunikasi dan media (104.86 juta), pengangkutan dan logistik (83.38 juta) dan utiliti (53.94 juta). -Bernama