X

Kindly register in order to view this article
!

Industri kreatif jana RM42 juta jualan, peluang komersial

MDEC telah membantu lapan syarikat animasi dan satu syarikat permainan menjana kira-kira RM42 juta dalam peluang komersial
A
A

PUTRAJAYA - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah membantu lapan syarikat animasi dan satu syarikat permainan menjana kira-kira RM42 juta dalam peluang komersial dan jualan pada Sidang Kemuncak Virtual Kidscreen 2021 yang berlangsung baru-baru ini.

MDEC membimbing sembilan syarikat kreatif itu melalui keputusan penting dan pencetus perjanjian perniagaan untuk membina rangkaian dan memacu perniagaan mereka ke hadapan di sidang kemuncak tersebut yang turut mengadakan persidangan dan sesi penerangan mengenai perniagaan berkaitan hiburan untuk kanak-kanak.

Syarikat-syarikat itu meraih RM27.3 juta dalam peluang komersial dan jualan sebenar berjumlah RM15.1 juta, kata MDEC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Antara syarikat itu ialah Monsta, Lemon Sky, Lil Critter, Giggle Garage, Skyline Interactive, Anima Vitae Point, Pixelline Studios, Animasia Studios dan Common Extract.

MDEC berkata, sidang kemuncak itu diadakan secara maya buat pertama kali tahun ini dengan menyediakan platform bagi agensi itu untuk menyampaikan Program Pemadanan Perniagaan dan Akses Pasaran Kandungan Kreatif Digital (2P).

2P adalah inisiatif berterusan dalam merapatkan peluang industri kreatif digital Malaysia ke pasaran tempatan dan antarabangsa melalui ‘Virtual Buyer Fly Ins dan Virtual Business Missions’. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!