Produk kosmetik dikesan mengandungi racun tretinoin

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Produk kosmetik, Brilliant Skin Essentials Whitening Facial Cream dikesan mengandungi racun berjadual, tretinoin oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, notifikasi produk kosmetik itu telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM.

"Oleh itu, produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, penggunaan produk yang mengandungi racun tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

"Orang ramai digesa mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik berkenaan," katanya.

Beliau berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik itu perlu menghentikan penjualan serta pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

"Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan berikutnya, mereka akan berdepan dengan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Orang awam digalakkan menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.