Lapan lagi rumah tempat persembunyian Abu Sayyaf dimusnahkan

Antara rumah yang dimusnahkan di kawasan penempatan setinggan belakang Taman Sri Arjuna, Beaufort.
Antara rumah yang dimusnahkan di kawasan penempatan setinggan belakang Taman Sri Arjuna, Beaufort.
A
A
A

BEAUFORT - Lapan lagi rumah yang dijadikan tempat persembunyian kumpulan Abu Sayyaf dimusnahkan oleh pihak berkuasa dalam satu operasi khas pada Jumaat.

Penempatan setinggan di belakang Taman Sri Arjuna, di sini dimusnahkan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort dengan kerjasama Majlis Daerah Beaufort dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Yaacob berkata, operasi kali kedua itu bertujuan menghapuskan sepenuhnya penempatan yang dipercayai dihuni 38 individu daripada kumpulan itu.

"Rumah ini dibina mengikut teknik perang gerila yang sukar dikesan walaupun menerusi pemantauan udara," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi itu.

Sehubungan itu, Yusoff Zaki berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung ahli kumpulan Abu Sayyaf diminta tampil membantu untuk menjaga keselamatan negara.

Sementara itu, Pegawai Daerah Beaufort Abdul Imam Basirun berkata, pihaknya akan terus menyokong dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi menghapuskan kawasan persembunyian kumpulan militan berkenaan.

"Ini adalah tindakan drastik dan amat baik untuk menangani kemasukan mereka, Insya-ALLAH kita akan teruskan tindakan ni untuk menghapuskan baki lokasi persembunyian kumpulan Abu Sayyaf," katanya.

Secara keseluruhan setakat ini sebanyak 14 rumah sudah dimusnahkan dan operasi fasa ketiga dan dijangka diteruskan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada 14 Mei lalu melaporkan enam rumah di penempatan yang dijadikan persembunyian ahli kumpulan Abu Sayyaf dimusnahkan oleh pihak berkuasa.