X

Kindly register in order to view this article
!

Bekalan makanan negara mencukupi

Datuk Che Abdullah (dua dari kanan) melihat hasil pertanian yang dijual di PST FAMA Seremban pada Jumaat.
A
A

SEREMBAN - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan terus memastikan keperluan bekalan makanan di seluruh negara mencukupi sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penup fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Timbalan Menteri II MAFI, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya telah mengambil pelbagai pendekatan bagi memastikan kelancaran dan kelangsungan rantaian bekalan makanan terjamin, termasuklah pengurusan isu lambakan.

Menurutnya, antara pendekatan yang diambil adalah melalui pelaksanaan Pasar Segar Terkawal (PST) di lokasi-lokasi terpilih yang beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Setakat ini sebanyak 42 PST beroperasi di seluruh negara dan di Negeri Sembilan terdapat empat lokasi iaitu di Pasar Tani Kekal Paroi, Pasar Tani Kekal Bandar Seri Jempol, Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Seremban dan Agrobazaar Sendayan.

"Setiap PST akan mempunyai lapan komoditi teras iaitu sayur, buah-buahan, ikan, ayam, daging, produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS), barangan runcit dan makanan (take away). Kesemua PST ini akan terus beroperasi sepanjang pelaksanaan PK) 3.0 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan dan lawatan kerja di dua lokasi PST FAMA iaitu Pusat Operasi FAMA Seremban dan Agrobazaar Sendayan pada Jumaat.

Datuk Che Abdullah (kiri) semasa melawat PST FAMA Seremban pada Jumaat.
Datuk Che Abdullah (kiri) semasa melawat PST FAMA Seremban pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi FAMA, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, MAFI sentiasa mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan, antaranya pengeluaran, pengedaran dan peruncitan produk hasil pertanian serta industri makanan.

Katanya, MAFI dengan kerjasama semua pihak bertanggungjawab memastikan keadaan sentiasa terkawal dan bekalan makanan berada dalam keadaan mencukupi selain terus stabil memandangkan sektor pertanian dan industri makanan diletakkan sebagai satu perkhidmatan perlu (essential services).

Dalam pada itu, beliau memberitahu bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran hasil pertanian semasa tempoh PKP 3.0 ini, FAMA telah mewujudkan Bilik Gerakan (Crisis Management Centre) yang beroperasi pada jam 8 pagi hingga 7 malam.

Katanya, langkah ini bagi membantu golongan petani yang menghadapi masalah memasarkan hasil pertanian mereka dengan melayari portal FAMA Feedback System (http://ffs.fama.gov.my/aduan/index.php) atau menghubungi talian hotline FAMA di 019-7476754, atau 013-3777100 dan di talian 010-7632684.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!