X

Kindly register in order to view this article
!

Love Scam, Parcel Scam rekod kerugian RM161.9 juta sejak 2019

Mohd Kamarudin dalam sidang akhbar secara maya, pada Jumaat.
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 3,847 kes penipuan Love Scam dan Parcel Scam dengan kerugian berjumlah RM161.9 juta dilaporkan sejak tahun 2019 hingga 10 Jun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, berdasarkan pecahan kes, tahun 2019 mencatatkan 1,535 kes dengan kerugian RM79.1 juta.

"Tahun berikutnya pula merekodkan 1,582 kes dengan jumlah kerugian RM58.3 juta.

"Bagi tahun ini setakat 10 Jun, polis menerima 730 kes dengan kerugia mencecah RM24.4 juta," katanya dalam sidang akhbar secara maya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan warga maya atau kenalan baharu yang ingin menjalin persahabatan atau percintaan di media sosial terutama mereka yang menjanjikan hadiah sebagai tanda kasih.

Katanya, usah mudah terpedaya dengan sebarang panggilan telefon, WhatsApp atau khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pihak Kastam dan syarikat kurier yang mendakwa memerlukan pembayaran untuk parcel terbabit.

"Diingatkan juga, masyarakat usah sesekali membenarkan akaun bank digunakan oleh orang lain dan tidak mendedahkan maklumat peribadi perbankan," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, masyarakat juga perlu ambil tahu berkenaan modus operandi terkini jenayah komersial selain tips pencegahan jenayah.

Jelas beliau, sila hubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/ 03-26101599 atau WhatsApp ke CCID Infoline di talian 013-2111222 untuk menyalurkan maklumat atau jenayah komersial di persekitaran anda.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!