Iconic Worldwide akan terima kemudahan perbankan RM130.26 juta

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ANAK syarikat milik penuh pemaju hartanah Iconic Worldwide Bhd, Iconic Medicare Sdn Bhd memeterai perjanjian untuk menerima kemudahan perbankan sehingga RM130.26 juta daripada Ambank (M) Bhd.

Kemudahan perbankan itu adalah kombinasi pinjaman bertempoh, overdraf dan kemudahan pembiayaan pelbagai perdagangan yang diberikan bank itu, tertakluk kepada terma dan syarat, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.

Menurut kumpulan itu, kemudahan perbankan berkenaan akan digunakan untuk membiayai sebahagian daripada kos pengambilalihan tanah perindustrian pegangan pajak yang kosong di Pulau Pinang dan kos pembinaan kompleks kilang.

Ia akan turut dimanfaatkan untuk membiayai sebahagian daripada pembelian jentera berkaitan sarung tangan, kos pemasangan sistem perpaipan dan sistem bekalan peralatan serta modal kerja am.

Di bawah perjanjian itu, Ambank menghendaki Pengasas dan Pengerusi Iconic Worldwide, Datuk Tan Kean Tet untuk kekal sebagai pemegang saham besar sepanjang adanya kemudahan perbankan itu dan Iconic Medicare akan mengekalkan nisbah tahap kadar hutang tidak melebihi 3.20 kali.

Iconic Worldwide berkata, peminjaman itu akan menyebabkan kumpulan berkenaan menanggung perbelanjaan faedah yang akan memberi impak langsung kepada pendapatannya sepanjang adanya kemudahan perbankan berkenaan.

Bagaimanapun, ia menjangkakan perolehan daripada segmen pembuatan kelengkapan perlindungan diri iaitu sarung tangan dan pelitup muka pakai buang akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan yang akan datang selepas kilang itu mula beroperasi sepenuhnya.

Menurut Iconic Worldwide, kemudahan perbankan itu dijangka tidak memberikan sebarang impak material terhadap aset bersih dan tahap kadar hutang kumpulan, kecuali kenaikan tahap kadar hutang kepada maksimum 1.14 kali.

Artikel Berkaitan:

“Ini berdasarkan jumlah keseluruhan kemudahan perbankan berbanding ekuiti teraudit terkini yang ada daripada pemilik dalam kumpulan iaitu kira-kira RM114 juta setakat 31 Mac 2021,” katanya. - Bernama