Potensi kerjasama Malaysia-Indonesia dalam industri vape

Edy Suprijadi
Edy Suprijadi
A
A
A

KERAJAAN Malaysia diminta segera memperkenalkan peraturan untuk mengawal selia produk vape di negara ini kerana banyak syarikat dari Indonesia berminat untuk melabur dan mengembangkan perniagaan dalam sektor itu di negara ini.

Perunding industri dan aktivis vape di Indonesia, Edy Suprijadi berkata, pelaksanaan rangka kerja cukai di republik berkenaan sejak 2018 telah meningkatkan keyakinan dalam kalangan pemain industri dan pengguna terhadap industri vape.

Kata beliau, ini kerana peraturan yang lebih jelas dan sokongan kerajaan telah membolehkan perniagaan beroperasi dengan lancar manakala pelanggan mendapat jaminan penggunaan produk vape yang berkualiti dan memenuhi piawaian keselamatan.

“Hasilnya, sejak memperkenalkan cukai vape di Indonesia, industri ini telah mencatatkan pertumbuhan kira-kira 60 peratus antara 2019 hingga 2020.

“Pada 2019, industri telah berjaya menyumbang hasil cukai berjumlah Rupiah 500 bilion (RM150 juta) kepada kerajaan. Malah pada 2020, hasil cukai yang dijana daripada industri bernilai kira-kira Rupiah 700 bilion (RM210 juta),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Edy yang juga bekas Setiausaha Agung Asosiasi Personal Vaporizer Indonesia (APVI) berkata, industri vape di Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan yang setara jika dikawal selia.

APVI adalah persatuan perniagaan Indonesia yang bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam hal cukai vape.

Malah katanya, langkah tersebut juga akan membina landasan bagi kerjasama lebih rapat antara pemilik perniagaan vape di kedua-dua buah negara.

Artikel Berkaitan:

“Ramai di antara kami di Indonesia mengalu-alukan langkah kerajaan Malaysia mengenakan duti eksais ke atas produk vape sejak awal tahun ini. Perkembangan ini merupakan langkah positif ke arah mengawal selia seluruh industri vape di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, sejajar dengan peningkatan permintaan di Indonesia, beberapa ahli mereka sedang merancang untuk meluaskan perniagaan mereka ke luar negara.

"Dengan menetapkan peraturan bagi industri, para pemain industri kami akan dapat meneroka peluang usaha sama dengan industri Malaysia.

“Malaysia ialah sebuah destinasi yang amat sesuai. Selain infrastruktur dan kemudahan yang tersedia, ekosistem industri vape di Malaysia yang mapan merupakan faktor penting bagi pelabur," katanya.

Edy Suprijadi berkata, beliau percaya langkah seterusnya yang perlu diambil ialah memperkenalkan peraturan bagi produk vape demi menggalakkan pembangunan industri.

"Peraturan ini seharusnya turut merangkumi pembuatan dan penjualan e-cecair dengan nikotin yang membentuk sebahagian besar daripada produk yang dijual di Malaysia, Indonesia dan di peringkat global,” kata beliau.