Kementerian Sumber Manusia kutip lebih RM3 juta kompaun

Awang ketika ditemui pemberita pada Jumaat.
Awang ketika ditemui pemberita pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kementerian Sumber Manusia mengutip bayaran kompaun sebanyak RM3.004 juta daripada majikan pelbagai sektor di seluruh negara atas pelbagai kesalahan sejak Februari lepas.

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, kompaun itu dikeluarkan hasil pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) ke atas 106,824 penginapan pekerja melibatkan 19,149 majikan.

Menurutnya, jumlah kompaun itu membabitkan sebahagian 745 kertas siasatan yang dibuka di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

"Daripada 745 kertas siasatan tersebut, sebanyak 291 kertas siasatan telah diberi izin kompaun yang melibatkan tawaran kompaun sebanyak RM3.004 juta terhadap majikan melakukan kesalahan di bawah Akta 446.

"Sebanyak 125 kertas siasatan lagi diambil tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen di seluruh negara dengan 55 kes telah selesai membabitkan jumlah denda dibayar sebanyak RM361,000," katanya.

Awang (kiri) mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) Fasa Pertama di sebuah kilang pengeluar produk elektronik dan peralatan perubatan di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, di sini, pada Jumaat.
Awang (kiri) mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) Fasa Pertama di sebuah kilang pengeluar produk elektronik dan peralatan perubatan di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Operasi Pematuhan Akta 446 dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) Fasa Pertama di sebuah kilang pengeluar produk elektronik dan peralatan perubatan di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, di sini pada Jumaat.

Awang berkata, daripada jumlah keseluruhan itu juga, sebanyak 32 kertas siasatan dibuka di Kedah dengan enam kes selesai di peringkat mahkamah melibatkan denda berjumlah RM58,000 dan 19 lagi kertas siasatan dikenakan kompaun berjumlah RM190,000.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan kebanyakan kesalahan yang dilakukan ialah menempatkan pekerja di penginapan tanpa perakuan Ketua Pengarah JTK dan tidak mematuhi kehendak minimum atau tidak menyediakan kemudahan asas kepada pekerja.

Katanya, kesalahan itu masing-masing dilakukan di bawah Seksyen 24D Akta 446 dan Peraturan 3 dan 4 di bawah Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020.

"Justeru, KSM mengulangi peringatan kepada semua majikan dan penyedia penginapan berpusat serta pemain industri secara umum supaya sentiasa mematuhi akta yang dikuatkuasakan bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang yang tegas diambil terhadap mereka," katanya.

Dalam perkembangan sama katanya, kira-kira 2,657 kes membabitkan pelbagai isu dihadapi pekerja termasuk warga asing telah dilaporkan menerusi aplikasi Working For Workers (WFW) yang dilancarkan pada 3 Mei lalu.

"Keseluruhan aduan diterima melalui aplikasi sehingga 8 Jun ialah sebanyak 2,657 kes dengan 66 daripadanya di Kedah," katanya.